| Program Team Building bagi meningkatkan motivasi dan ukhwah dalam kalangan kakitangan |
APLIKASI PSIKOLOGI DALAM PENGURUSAN SUMBER MANUSIA
Oleh: Mahfudzah Mahadzir
Bahagian Pembangunan Modal Insan
mahfudzah@dof.gov.my
Bahagian Pembangunan Modal Insan
mahfudzah@dof.gov.my
Dalam era pekerjaan moden yang penuh dengan cabaran dan tekanan, organisasi tidak lagi boleh menumpukan perhatian kepada aspek produktiviti tanpa mengambil kira kesejahteraan mental dan emosi pekerja. Justeru, aplikasi psikologi dalam pengurusan sumber manusia memainkan peranan penting dalam memastikan kelestarian prestasi dan kesejahteraan warga kerja.
Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Pengurusan Psikologi Versi 1.0 (2022) menerusi Ceraian PO.3.1.1 - Panduan Aplikasi Psikologi Dalam Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam, terdapat empat aplikasi utama psikologi dalam pengurusan sumber manusia, iaitu: penilaian personel, pembangunan personel, penyelidikan psikologi dan intervensi.
Aplikasi Psikologi dalam Penilaian Personel
Aplikasi ini bertujuan membantu pengurus sumber manusia memahami aspek seperti minat, personaliti, emosi, sikap dan pencapaian individu dengan menggunakan pelbagai jenis ujian psikologi. Ujian-ujian ini digunakan dalam pelbagai urusan sumber manusia termasuk pemilihan dan penempatan, pengurusan prestasi, pembangunan kompetensi serta persediaan pra persaraan.
Sehingga Mei 2025, seramai 130 warga Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah menjalani pelbagai ujian psikologi dan psikometrik. Pelaksanaan ujian ini membantu dalam mengenal pasti potensi dan kekuatan individu sekali gus menyokong pembangunan kerjaya yang lebih strategik.
Aplikasi Psikologi dalam Pembangunan Personel
Aplikasi ini memberi tumpuan kepada cadangan pelaksanaan aktiviti dan program yang berasaskan aspek psikologi dalam pembangunan kendiri. Tujuannya adalah untuk membekalkan input psikologi serta menerapkan kemahiran dalam mengurus isu dan cabaran di tempat kerja seperti pengendalian emosi, stres, perubahan sikap dan minda, perhubungan interpersonal serta peningkatan motivasi.
Aplikasi Psikologi dalam Penyelidikan
Aplikasi ini bertujuan menjalankan kajian terhadap isu psikologi dan permasalahan penjawat awam di tempat kerja. Kajian ini melibatkan faktor pencetus dan penghalang motivasi serta interaksi antara manusia dengan peralatan dan sistem kerja (aspek ergonomik). Hasil penyelidikan ini akan menjadi input penting untuk penambahbaikan sistem pengurusan sumber manusia dalam sektor awam.
Melalui penyelidikan psikologi yang berterusan, organisasi dapat mengenal pasti keperluan intervensi yang tepat serta merangka strategi pengurusan yang lebih responsif terhadap kehendak semasa warga kerja.
Aplikasi Psikologi dalam Intervensi
Aplikasi ini dilaksanakan untuk membantu pegawai mengurus masalah secara berkesan melalui aktiviti seperti kaunseling, pementoran dan program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB). Intervensi psikologi bertindak sebagai sokongan strategik dalam membentuk daya tahan mental dan keseimbangan emosi dalam kalangan warga kerja.
0 Comments