MENEROKA NILAI TAMBAH RUMPAI LAUT




MENEROKA NILAI TAMBAH RUMPAI LAUT: SUMBER ORGANIK UNTUK PASARAN GLOBAL

Oleh: Najihan Mohamad Nasir
Pusat Penyelidikan Marikultur Langkawi, Kedah
najihannasir@dof.gov.my
Akuakultur rumpai laut telah menjadi komponen penting dalam sektor perikanan global. Aktiviti ini bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tetapi juga memainkan peranan besar dalam memastikan kelestarian makanan dunia. Dalam dua dekad kebelakangan ini, bilangan negara pengeluar rumpai laut telah meningkat daripada 28 kepada 52 negara, dengan pengeluaran global mencecah 35 juta tan metrik. Menariknya, 97% daripada pengeluaran ini dihasilkan melalui akuakultur, menunjukkan betapa pentingnya aktiviti ini dalam memenuhi permintaan global.
Laporan daripada Market Research Future (MRFR, 2022) menganggarkan nilai pasaran global rumpai laut akan mencecah USD25 bilion (RM125 bilion) menjelang tahun 2030. Statistik ini membuktikan potensi besar industri ini yang semakin mendapat perhatian kerana sifatnya yang mampan, organik, dan mesra alam.
Kepelbagaian Spesies
Spesies Tropika: Antara rumpai laut yang paling banyak diternak ialah Kappaphycus dan Eucheuma. Spesies ini banyak diternak di Filipina, Indonesia, dan Malaysia. Di Malaysia, penternakan Kappaphycus tertumpu di Negeri Sabah kerana perairannya yang subur dan terlindung daripada ombak kuat. Kappaphycus merupakan sumber utama bagi penghasilan karagenan yang digunakan secara meluas dalam industri makanan, kosmetik, dan farmaseutikal. Selain itu, spesies Caulerpa atau latok juga semakin popular sebagai hidangan segar.
Spesies Iklim Sederhana: Spesies seperti Saccharina, Undaria, dan Porphyra ditemui di negara-negara beriklim sederhana seperti Jepun, China, dan Korea Selatan. Rumpai laut ini digunakan dalam pelbagai produk makanan seperti snek sihat, pembalut sushi, dan sup tradisional menjadikannya bernilai tinggi dalam pasaran global.
Potensi Baharu dalam Industri Hiliran Rumpai Laut
Kemajuan teknologi dan penyelidikan telah membuka peluang baharu bagi aplikasi rumpai laut dalam pelbagai industri hiliran:
  • Biostimulan: Rumpai laut kaya dengan nutrien dan sesuai dijadikan baja organik untuk meningkatkan kualiti hasil pertanian.
  • Makanan Haiwan Ternakan: Sebagai sumber nutrien seperti asid amino dan mineral, ia boleh mengurangkan kebergantungan kepada makanan ternakan konvensional.
  • Nutraseutikal dan Farmaseutikal: Industri bernilai tinggi ini menawarkan potensi besar bagi produk kesihatan dan ubat-ubatan.
  • Tekstil dan Plastik Biodegradasi: Penggunaan serat dan pigmen semula jadi untuk penghasilan tekstil lestari serta pembungkusan mesra alam.

Post a Comment

0 Comments