RANG UNDANG-UNDANG PERIKANAN (PINDAAN) 2025: MEMPERKUKUH KERANGKA UNDANG-UNDANG SEKTOR PERIKANAN NEGARA

YB Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama YBhg. Ketua Pengarah Perikanan dan pegawai kanan jabatan di Dewan Negara bagi pembacaan Rang Undang-undang Perikanan (Pindaan) 2025.


RANG UNDANG-UNDANG PERIKANAN (PINDAAN) 2025: MEMPERKUKUH KERANGKA UNDANG-UNDANG SEKTOR PERIKANAN NEGARA

Oleh: Mohd Zuraire Ab Rani
Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik.
Pendahuluan
Kuala Lumpur: Akta Perikanan 1963 [Akta 210] merupakan perundangan pertama yang digubal untuk mengawal selia industri perikanan di negara ini. Akta tersebut kemudiannya telah dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Perikanan 1985 [Akta 317] yang telah melalui beberapa pindaan utama iaitu pada tahun 1993, 2012 dan 2019 bagi memperkukuhkan kawal selia terhadap pemuliharaan, pengurusan dan pembangunan industri perikanan negara.
Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan kelestarian sektor perikanan negara. Namun, beberapa cabaran utama masih perlu diatasi, termasuk ketirisan sumber perikanan, kemerosotan stok ikan, aktiviti antropogenik seperti penangkapan ikan secara tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU Fishing), kesan perubahan iklim, serta isu keterjaminan makanan dan bekalan ikan kepada rakyat. Selaras dengan keperluan semasa dan perkembangan industri perikanan di peringkat domestik dan antarabangsa, pindaan kepada Akta 317 adalah amat wajar agar isu kemerosotan stok perikanan dapat ditangani dengan berkesan melalui pendekatan pengurusan secara menyeluruh.
Intipati Pindaan
Rang Undang-undang Perikanan (Pindaan) 2025 mengandungi sebanyak 47 fasal. Cadangan pindaan ini meliputi enam perkara utama iaitu:
  1. Membanteras kegiatan perikanan IUU.
  2. Mencegah sebarang aktiviti perikanan di kawasan tercemar.
  3. Memperkukuh perlindungan taman laut dan rizab laut.
  4. Menaikkan kadar hukuman.
  5. Memperjelas pemakaian Akta 317 ke seluruh Wilayah Persekutuan.
  6. Memperkukuhkan dasar melalui data yang sahih.
Kronologi Kelulusan di Parlimen
YB Dato' Seri Mohammad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah menyempurnakan Bacaan Kali yang Pertama Rang Undang-undang Perikanan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat pada 23 Julai 2025 dan Bacaan Kali yang Kedua pada 29 Julai 2025.
Seterusnya Perbahasan dan Bacaan Kali ketiga Rang Undang-undang (RUU) ini telah dibentangkan oleh YB Dato' Sri Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 29 Julai 2025. Sebanyak 29 orang Ahli Dewan Rakyat telah menyertai perbahasan ini termasuk YB Rasah, YB Beruas, YB Tenggara, YB Gopeng, YB Mersing dan YB Kuantan. RUU ini telah disokong dan diluluskan di Peringkat Dewan Rakyat.
Manakala di peringkat Dewan Negara, RUU ini telah disempurnakan oleh YB Timbalan Menteri bagi Bacaan Kali yang kedua dan ketiga serta Perbahasan pada 9 September 2025. Seramai sebelas Senator Dewan Negara telah membahaskan cadangan dan bersetuju dengan RUU ini. Senator-senator terlibat dalam perbahasan di Dewan Negara adalah YB Senator Tuan Mohd Hasbie Muda, YB Senator Datuk Bobbey Ah Fang Suan, YB Senator Puan Nooriah Suaad, YB Senator Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Md Ramli dan YB Senator Dato' Setia Salehhuddin Saidin.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, RUU ini bukan sekadar menyusun pindaan teknikal. Ia adalah manifestasi kesungguhan Kerajaan MADANI untuk mempertahankan kedaulatan laut negara, memastikan kelestarian sumber marin dan menjamin keterjaminan makanan rakyat. Laut kita bukan sekadar hamparan biru di peta dunia, tetapi merupakan nadi bangsa, punca rezeki nelayan, aset strategik negara dan warisan yang wajib dipelihara serta diwariskan kepada anak cucu.

Post a Comment

0 Comments