INOVASI PERANGKAP LINTAH MARIN (BP2) DIKOMERSIALKAN

Perangkap Lintah Marin - Break and Protect 2 (BP2) yang sedia untuk dikomersialkan.


INOVASI PERANGKAP LINTAH MARIN (BP2) DIKOMERSIALKAN

Oleh: Liyana Ramli & Wan Norhana Md. Noordin
Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung, Pulau Pinang.
Latar Belakang Inovasi
Penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung, Pulau Pinang yang diketuai oleh Dr. Kua Beng Chu telah berjaya menghasilkan inovasi yang dinamakan Perangkap Lintah Marin - Break and Protect (BP) bagi mengatasi masalah jangkitan lintah laut yang sering menyerang ikan ternakan sangkar seperti kerapu dan siakap.
BP telah melalui beberapa fasa penyelidikan yang akhirnya membawa kepada pembangunan kaedah kawalan dan diperhalusi melalui pengujian di lapangan bermula tahun 2014. Pada tahun 2016 inovasi ini telah diberi penambahbaikan dari segi keberkesanannya dan dinamakan Break and Protect 2 (BP2). Buat julung kalinya BP2 telah berjaya dikomersialkan dalam usaha membantu penternak ikan kerapu dan siakap bukan sahaja di Malaysia, malah di negara-negara Asia Tenggara yang sebelum ini mengalami kerugian jutaan ringgit setahun. Produk ini telah didaftarkan sebagai harta intelek (paten) pada tahun 2019 dan dilesenkan kepada syarikat tempatan iaitu 3 Little Fish Sdn. Bhd. untuk tujuan pengomersialan. Pada peringkat permulaan, 1,000 set BP2 telah dikeluarkan yang turut mendapat permintaan daripada penternak ikan dari Brunei dan Singapura. Harga satu set BP2 adalah RM380 dan boleh digunakan untuk kawasan berkeluasan 100 hingga 200 meter persegi dengan jangka hayat selama tiga tahun.
Pengiktirafan dan Anugerah
BP2 juga telah berjaya memenangi beberapa anugerah. Antara anugerah di peringkat kebangsaan adalah tempat ketiga dalam Pertandingan Inovasi Jabatan Perikanan Malaysia, pingat emas dalam Pameran Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Kebangsaan 2018 (CompEx’18) serta naib johan bagi kategori Pertanian, Alam Sekitar dan Tenaga Boleh Diperbaharui, iCompEx’18. Manakala bagi anugerah di peringkat antarabangsa, BP2 berjaya mendapat pingat perak dalam Pertandingan Inovasi, Reka Bentuk dan Artikulasi Antarabangsa Keempat 2018 (i-IDeA 2018) dan menjuarai Anugerah Inovasi Setiausaha Agung Komanwel untuk Pembangunan Lestari 2021 (The Commonwealth Secretary-General’s Innovation for Sustainable Development Awards 2021).
Bahaya Lintah Marin
Lintah laut mempunyai dua organ pembiakan dan mampu mengawan secara sendiri serta mempunyai kadar pembiakan yang tinggi. Serangan lintah laut walaupun tidak menyebabkan kematian secara langsung, namun ia boleh mengakibatkan luka pada ikan dan seterusnya menyebabkan nilainya merosot. Contohnya ikan kerapu siakap boleh dijual dengan harga sekitar RM40 hingga RM70 per kilogram berbanding dengan ikan yang diserang lintah, nilainya akan menurun serendah RM5 seekor. Selain itu, kematian ikan juga boleh berlaku akibat jangkitan daripada ikan lain dan boleh membabitkan kes jangkitan sekunder, seterusnya menjadi kritikal. Anggaran kerugian yang pernah dilaporkan di Pulau Pinang mencecah RM2.3 juta pada tahun 2014.
Menurut Dr. Kua Beng Chu, sebelum adanya BP2 penternak mengurangkan masalah jangkitan lintah dengan menggunakan kaedah rendaman air tawar di mana penternak terpaksa mengangkut bekalan air dari darat. Selain daripada meningkatkan kos operasi, kaedah ini didapati tidak berkesan menghapuskan lintah laut secara keseluruhan. Beliau yang turut dibantu Puan Nur Ashikin Arbi dari Pusat Penyelidikan Kesihatan Ikan Kebangsaan (NaFisH) berkata, penternak juga menggunakan bahan kimia seperti formalin, namun hasil dari kajian mendapati ia tidak membunuh kesemua lintah laut tetapi hanya menyebabkan lintah menjadi tidak aktif dalam satu tempoh masa yang singkat. Sekiranya lintah tersebut diletakkan di air laut, ia akan menjadi aktif semula dan mampu menjangkiti ikan. Penggunaan bahan kimia juga mencemarkan persekitaran akuatik dan menelan belanja susulan rawatan yang berulang, bertalu-talu menjejaskan kesihatan penternak di samping boleh menimbulkan isu keselamatan makanan.
Keunggulan BP2
Penternak di Filipina misalnya, menggunakan kaedah penyingkiran secara manual iaitu membuang lintah dengan tangan, berus gigi dan kain tuala. Kaedah ini hanya boleh menyingkirkan lintah dewasa dan bukannya kokon lintah malah menyebabkan ikan berasa tertekan akibat sentuhan fizikal yang kerap di samping mengambil masa yang lama dan pekerja yang ramai.
Perangkap BP2 lebih efisien dengan rekaan berbentuk silinder dengan permukaan berciri khas yang menarik ikan untuk mendekati BP2. Lintah yang menjangkiti ikan akan tertarik ke BP2 dalam tempoh satu jam dan seterusnya akan mengeluarkan kokonnya dan melekat pada BP2 seawal tiga jam pertama. Keadaan ini membolehkan kedua-dua lintah dan kokon dikeluarkan sekali gus. Alat ini juga mudah dibawa dan disimpan. BP2 dapat menghalang jangkitan lintah yang berulang kerana semua lintah dewasa termasuk kokonnya dapat dikeluarkan sekali gus bersama BP2 dan kemudiannya dihapuskan. Cara pemasangan BP2 juga sangat mudah, hanya menggantungkannya di dalam sangkar di bawah permukaan air tanpa perlu mengeluarkan ikan seperti mana kaedah konvensional.
Pengujian alat ini telah dijalankan di Langkawi, Kedah; Kuala Gula, Perak; Pulau Jerejak, Pulau Pinang; serta Tanjung Pelumpang dan Pulau Keingaran di Brunei. BP2 telah diuji ke atas 14 spesies ikan ternakan termasuk bawal, siakap, jenahak dan ikan aruan tasik yang dijangkiti lintah laut. Hasil kajian menunjukkan peralatan ini mampu mengurangkan jangkitan daripada 100 peratus kepada 20 peratus melalui tiga kali aplikasi BP2 dalam tempoh 15 hari. BP

Post a Comment

0 Comments