Oleh: Ainul Yasmin Md Yusoff
Pejabat Perikanan Negeri Kedah
ainul@dof.gov.my
Akreditasi Penting untuk Industri Perikanan
Unit Analisa Rasmi Makmal Biosekuriti Perikanan Tunjang Kedah telah menerima pengiktirafan penting dengan dianugerahkan Akreditasi MS ISO/IEC 17025 di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM). Akreditasi ini sah selama lima tahun, bermula 1 Mac 2024 hingga 1 Mac 2029.
Pengiktirafan ini membuktikan kecekapan teknikal makmal dan keupayaannya untuk menghasilkan hasil ujian yang tepat dan konsisten. Akreditasi ini merupakan satu pencapaian penting bagi industri perikanan di Malaysia, meningkatkan keyakinan terhadap ketepatan dan kebolehpercayaan hasil ujian makmal.
Skop Pengujian Akreditasi
Akreditasi ini meliputi kecekapan makmal dalam bidang ujian Veterinar (Virologi). Makmal ini diberi kuasa untuk menjalankan pelbagai ujian molekular pada ikan dan udang untuk pengesanan pelbagai virus, seperti:
Produk di Uji Parameter/Jenis Ujian
Ikan dan tisu ikan (Gill, Kidney, Spleen, Brain) Red sea bream iridovirus (RSIV), Viral nervous necrosis (VNN)
Udang dan tisu udang (Pleopod, Gill, Hepatopancreas, PL) Yellow head virus (YHV), White spot syndrome virus (WSSV), Taura syndrome virus (TSV)
Makmal juga sedang merangka untuk mendapatkan akreditasi bagi parameter lain secara berperingkat.
Memenuhi Standard Antarabangsa
Untuk memperoleh akreditasi ini, pasukan pengurusan makmal perlu menunjukkan pematuhan terhadap keperluan dalam standard MS ISO/IEC 17025:2017. Standard antarabangsa ini memastikan bahawa sistem pengurusan dan kebolehcekapan teknikal Makmal Biosekuriti Perikanan Tunjang Kedah memenuhi kriteria yang diperlukan untuk menghasilkan hasil ujian yang sah secara konsisten.
Peranan Penting dalam Industri Perikanan
Akreditasi ini adalah bukti kepada dedikasi pihak pengurusan makmal untuk mengekalkan standard kualiti dan kebolehcekapan teknikal yang tertinggi. Dengan akreditasi ini, Unit Analisa Rasmi Makmal Biosekuriti Perikanan Tunjang Kedah bersedia untuk memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan keseluruhan industri perikanan, terutamanya dalam aspek kesihatan ikan.
0 Comments