SISTEM TERNAKAN UTAMA AKUAKULTUR DI MALAYSIA

 

Sektor Akuakultur di Malaysia terus berkembang di setiap rantaian aktiviti Akuakultur dari peringkat

pem bangunan induk , pembenihan sehinggalah kepada penternakan dan seterusnya kepada aktiviti pasca tuai. Terdapat enam komoditi ternakan utama ikan makan iaitu ikan air tawar, udang air tawar, ikan laut, udang laut, rumpai laut dan kerang-kerangan. Antara sistem ternakan utama yang digunakan di dalam penternakan ikan dan udang ialah kolam, sangkar, tangki, manakala penternakan kerang-kerangan dan rumpai laut menggunakan sistem dasar, rak, rawai dan sebagainya.

 

Sistem Sangkar



 Sistem ternakan untuk menternak ikan di dalam suatu kepungan yang dibuat daripada apa-apa bahan saringan yang diikat pada struktur yang dilabuhkan pada dasar mana- mana tempat perairan di darat, sungai atau tasik. Sistem sangkar meliputi akuakultur marin dan air tawar. Antara spesies ikan utama yang diternak menggunakan sistem sangkar di negara kita adalah ikan patin dan tilapia bagi air tawar manakala ikan merah, siakap, dan kerapu bagi air payau. Bagi sistem sangkar, teknologi terbaharu yang digunakan adalah penggunaan sangkar bulat High Density Polyethylene (HDPE) dan sangkar menggunakan galvanized steel.

 

Kelebihan penggunaan sangkar bulat HDPE ini adalah ianya lebih tahan lasak apabila menghadapi keadaan laut yang berombak kuat berbanding sangkar biasa. Penggunaan sangkar ini dapat mengurangkan kos penyelenggaraan sangkar. Penternak perlu menukar dan membersihkan jaring setiap dua minggu bagi memastikan keadaan sangkar sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik. Ini bertujuan untuk memastikan jaring sangkar tidak dipenuhi dengan teritip lantas mempengaruhi kualiti air di dalam sangkar dan mengelakkan berlakunya kerosakan pada jaring.

 

 

 

Sistem Kolam

 


Sistem ternakan ikan di dalam kolam di mana takungan-takungan air dibina dengan menggali tanah dan sekiranya kawasan terlalu rendah benteng/ ban terdiri daripada tanah, simen atau konkrit dibina bagi mengelilingi kawasan rendah untuk membentuk takungan. Sistem kolam ini digunakan bagi penternakan ikan air tawar dan air payau. Spesies utama yang diternak menggunakan sistem kolam ini adalah ikan keli, tilapia, dan patin bagi air tawar dan udang laut bagi komoditi marin. Sistem kolam biasanya dilengkapi dengan kincir air (paddle wheel) untuk meningkatkan kandungan oksigen terlarut di dalam kolam. Antara teknologi terbaharu di dalam sistem kolam ini adalah penggunaan lining HDPE di kolam bagi memudahkan pengurusan ternakan. Kelebihan penggunaan lining HDPE pada kolam adalah dapat memudahkan pengurusan kolam terutamanya dalam proses penyediaan kolam dan juga penuaian ternakan.

 

Sistem Tangki

 


Sistem ternakan ikan di dalam tangki yang diperbuat oleh manusia daripada plastik HDPE, kanvas, konkrit, plastik polyetylene (PE), gentian kaca dan lain- lain bahan. Ia juga mempunyai pelbagai bentuk seperti bulat, segi empat dan sebagainya. Antara ternakan dalam tangki yang banyak dilaksanakan di negara kita adalah penternakan ikan keli, tilapia dan lain- lain lagi. Antara peralatan yang diperlukan

 

 

 

 

 bagi ternakan ikan di dalam tangki adalah blower bagi meningkatkan kandungan oksigen terlarut di dalam air. Bagi ternakan di dalam tangki, penternak boleh menggunakan sistem bioflok yang biasanya digunakan di nurseri dengan menggunakan probiotik bagi menguraikan sisa dan lebihan makanan ikan untuk menjadi makanan tambahan kepada ikan. Ini dapat mengurangkan kebergantungan ikan terhadap pellet. Penternak juga boleh menggunakan teknologi Recirculating Aquaculture System (RAS) bagi penternakan ikan di dalam tangki. Teknologi RAS boleh digunakan bagi merawat air untuk digunakan semula. Penambahan air baharu bagi sistem RAS ini kurang daripada 10-15% daripada jumlah air ternakan untuk menggantikan air yang telah tersejat. Teknologi RAS membolehkan penternak mengawal parameter air lalu dapat meningkatkan kadar hidup, tumbesaran dan

 

kadar penebaran benih yang lebih tinggi dapat dilaksanakan.

 

Sistem Penternakan Kerang-Kerangan

 

Kerang, tiram atau kupang diternak sama ada pada tali (sistem rawai), rak, para, bakul, dulang yang terampai; atau dilabuhkan ke dasar laut; atau disokong dengan tiang melintang daripada apa jua bahan dan tiang melintang ini adalah kemudiannya disokong oleh tiang yang menegak daripada apa jua bahan yang dipacakkan ke dasar laut. Di Malaysia, kerang banyak diternak melalui pendekatan konsep kebun/estet kerang. Melalui konsep ini, kawasan perairan yang sesuai akan dikhaskan untuk dijadikan lot penternakan kerang dan diurus secara sistematik melibatkan nelayan dan masyarakat setempat.

 


Sistem Kultur Rumpai Laut

 


Sistem kultur rumpai laut melibatkan pelbagai spesies yang diternak dalam tangki; atau pada rakit, longline dan pancang yang terampai. Antara spesies rumpai laut yang dikultur di negara kita adalah Kappaphycus sp., Eucheuma sp. dan Caulerpa lentillifera (laktut) terutamanya di perairan laut negeri Sabah. Spesies-spesies ini diternak di perairan laut di Sabah disebabkan perairan lautnya yang luas dan berkeadaan optimum sebagai medium pengkulturan rumpai laut. Di Semenanjung Malaysia, Jabatan lebih memfokuskan penternakan laktut yang boleh dikultur di dalam tangki. Jabatan Perikanan Malaysia sentiasa menggalakkan penternakan rumpai laut seperti laktut disebabkan nilainya yang tinggi dan produk hasilan daripadanya digemari ramai. 




Post a Comment

0 Comments