Bubu Naga: Ancam Keterjaminan Sumber Makanan Negara

Puan Zarina bt. Zainuddin, Pengarah Perikanan Negeri Pulau Pinang melihat bubu naga yang dirampas oleh Penguatkuasa Perlindungan Sumber, Pulau Pinang.


Jangan Guna Bubu Naga: Ancam Keterjaminan Sumber Makanan Negara

Oleh: Nur Afiq Abd Wahab
Pejabat Perikanan Negeri Pulau Pinang.
Larangan Penggunaan
Penggunaan bubu naga untuk menangkap ikan di perairan laut dan sungai sememangnya dilarang di bawah Akta Perikanan 1985. Sesiapa yang memiliki dan menggunakan peralatan bubu naga untuk menangkap ikan, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) dan Seksyen 49(1) di bawah Akta Perikanan 1985.
Bubu naga adalah rangkaian sebilangan bubu yang disambung sehingga mencapai lapan hingga sembilan meter panjang. Kerangkanya diperbuat daripada besi dan didindingkan dengan menggunakan pukat bersaiz mata 21 mm yang membolehkannya memerangkap anak-anak ikan dan hidupan laut kecil yang boleh membawa kepada kepupusan sumber perikanan.
Bubu naga mempunyai pintu masuk (injap) di setiap petak rangka bubu secara berselang-seli dan kadang-kadang mencapai 20 injap. Sedangkan bilangan injap yang dibenarkan Jabatan Perikanan Malaysia setiap bubu tidak boleh melebihi dari dua injap.
Kesan Kepada Ekosistem
Bubu naga direka bentuk sedemikian rupa supaya ia boleh dilipat dan dimuatkan di dalam bot dalam jumlah yang banyak. Pelampung penanda dipasang ketika aktiviti penangkapan ikan di perairan laut terbuka.
Jabatan Perikanan Malaysia telah mengesan nelayan yang tidak bertanggungjawab yang menggunakan bubu naga secara berterusan di zon A iaitu antara kosong hingga satu batu nautika iaitu lokasi terletaknya kawasan konservasi perikanan yang mengakibatkan kemerosotan pendapatan nelayan sehingga 50 peratus. Kawasan konservasi perikanan adalah perairan yang menjadi pusat pembiakan pelbagai hidupan laut bernilai tinggi seperti udang, ikan jenahak dan ikan siakap. Jika tidak ditangani dengan baik, maka bubu naga ini akan memerangkap anak-anak ikan dan hidupan laut, sekali gus berisiko membawa kepupusan dalam tempoh tertentu.
Anggota penguatkuasa Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Malaysia merampas bubu naga di perairan Pulau Pinang.

Isu Lesen dan Keselamatan
Kegiatan bubu naga dipercayai banyak didalangi oleh nelayan yang tidak berlesen kerana ingin mencari punca pendapatan dengan jalan mudah. Kebanyakan nelayan berlesen tidak menggunakan bubu naga kerana jika ditangkap mereka boleh berdepan tindakan dibatalkan lesen. Perbuatan tersebut juga boleh mencetuskan kontroversi antara nelayan bubu naga dengan nelayan tradisional kerana menjelaskan keselamatan.
Jabatan Perikanan Malaysia juga sedang berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengharamkan penjualan bubu naga bagi tujuan penangkapan ikan. Melalui perbincangan awal dengan KPDNHEP, Jabatan Perikanan Malaysia akan cuba mencari penyelesaian bagi membolehkan penjualan bubu naga hanya dibenarkan untuk tujuan akuakultur sahaja.
Rupa bentuk fizikal Bubu naga yang diharamkan penggunaannya di perairan terbuka.


Penguatkuasaan dan Hukuman
Jabatan Perikanan Malaysia sentiasa meningkatkan penguatkuasaan dan merampas bubu-bubu naga yang dilabuhkan di laut serta melupuskannya mengikut undang-undang sedia ada. Mereka yang ditahan kerana kesalahan bubu naga akan didakwa mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
Dalam konteks negeri Pulau Pinang, bilangan bubu naga yang disita pada tahun 2021 adalah sebanyak 799 unit, tahun 2022 (1,018 unit) dan tahun 2023 sebanyak 1,358 unit.

Post a Comment

0 Comments