Sistem e-Agroperikanan Mudahkan Akses Maklumat Usahawan dan Komuniti Perikanan

Puan Khazlita Adzim binti Abdol Aziz dan Encik Mohd Faiz bin Zakaria menandatangani dokumen perjanjian mengenai penyerahan Sistem e-Agroperikanan yang disaksikan oleh YBhg. Dato' Adnan bin Hussain (Ketua Pengarah Perikanan Malaysia) dan YBrs. Tn. Hj. Bohari bin Hj. Leng (Timbalan Ketua Pengarah Perikanan Pembangunan)


Sistem e-Agroperikanan Mudahkan Akses Maklumat Usahawan dan Komuniti Perikanan

Oleh: Noor Ikhwanie Zainal
Bahagian Pengembangan Perikanan, Ibu Pejabat Perikanan Malaysia, Putrajaya.
Latar Belakang
Putrajaya: Bahagian Pengembangan Perikanan merupakan bahagian yang membangun dan memajukan usahawan dan komuniti perikanan yang dikenali sebagai myAgropreneur Perikanan (myAP) dan myKomuniti Perikanan (myKP). Sehingga kini sejumlah 569 myAP dan 234 myKP telah terlibat dalam program keusahawanan dan komuniti perikanan dalam bidang pengeluaran, pemprosesan, pemasaran dan industri sokongan perikanan termasuk agropelancongan serta perikanan rekreasi.
Dalam hal ini, Jabatan Perikanan Malaysia memerlukan satu sistem pengurusan maklumat bersepadu supaya maklumat yang tepat mampu diakses dalam masa yang singkat. Sistem yang komprehensif ini dapat memberikan manfaat kepada kakitangan Jabatan Perikanan Malaysia, kumpulan sasar dan orang awam.
Pembangunan Sistem
Sehubungan itu, Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama Syarikat Mind Trade Sdn. Bhd. telah membangunkan satu sistem pangkalan data digital iaitu e-Agroperikanan yang merangkumi data myAgropreneur Perikanan (myAP), myKomuniti Perikanan (myKP) dan Ketua Jaringan Perikanan (KJP). Pembangunan sistem e-Agroperikanan ini telah dimulakan pada Januari 2023 dengan peruntukan sebanyak RM30,850.00.
Sistem e-Agroperikanan boleh diakses secara dalam talian (website) oleh kakitangan dan melalui aplikasi mobil (mobile apps) oleh usahawan, komuniti, Ketua Jaringan Perikanan dan orang awam. Sistem ini membolehkan kakitangan Jabatan Perikanan Malaysia menguruskan data-data usahawan dan komuniti perikanan ini secara atas talian (web based) dan juga sebagai satu platform untuk para usahawan dan komuniti membina jaringan perniagaan secara dalam aplikasi (apps).
Objektif Utama
Tujuan utama pembangunan sistem ini adalah untuk menyelaraskan dan mengurus data secara berpusat (centralized) dan bersepadu (holistic). Objektif pembangunan sistem termasuk:
a) Memudahkan proses pengumpulan dan penyimpanan data serta segala informasi dapat dikawal dan diuruskan dengan teratur dan sistematik.
b) Sebagai platform kepada kakitangan untuk mengakses maklumat dengan lebih mudah, tepat dan terkini.
c) Membantu menyampaikan hebahan dan informasi kepada kumpulan sasar dengan lebih menyeluruh.
d) Pengguna awam dapat mencari usahawan dan komuniti tempatan dan menyokong perniagaan yang dijalankan seterusnya dapat membantu peningkatan ekonomi usahawan.
Penyerahan Sistem
Sistem e-Agroperikanan yang dibangunkan oleh Syarikat Mind Trade Sdn. Bhd. ini telah diserahkan kepada Jabatan Perikanan Malaysia dalam satu majlis yang diadakan di Ibu Pejabat Perikanan Malaysia, Putrajaya pada 23 November 2023. Majlis ini melibatkan penyerahan Sistem e-Agroperikanan daripada Encik Mohd Faiz bin Zakaria, Pengarah Urusan Mind Trade Sdn. Bhd. kepada Puan Khazlita Adzim binti Abdol Aziz, Pengarah Bahagian Pengembangan Perikanan yang disaksikan oleh YBhg. Dato' Adnan bin Hussain, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia. Turut hadir ialah YBrs. Tn. Hj. Bohari bin Hj. Leng, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pembangunan) dan YBhg. Dato' Azahari bin Othman, Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur.

Post a Comment

0 Comments