LATOKBY2.0 ALTERNATIF BAHARU DALAM TERNAKAN LATOK

Penternakan latok di tangki menggunakan teknik inovasi LatokBY2.0.

 

LATOKBY2.0 ALTERNATIF BAHARU DALAM TERNAKAN LATOK

Oleh: Nik Nazli Effendy Ramli
Institut Penyelidikan Perikanan Pulau Sayak, Kedah
niknazli@dof.gov.my
Industri latok atau rumpai laut hijau masih dilihat sebagai industri baharu di Malaysia. Keistimewaan latok yang kaya dengan zat berkhasiat mampu memberikan pelbagai manfaat kesihatan seperti menguatkan tulang dan sendi, mengurangkan risiko darah tinggi dan kencing manis, menghalang pembengkakan tiroid, melawan sel kanser, melindungi kesihatan mata dan jantung, mencantikkan kulit, melembutkan rambut serta membantu mengawal berat badan. Potensi luar biasa ini pasti mampu melonjakkan industri latok sekiranya maklumat mengenainya diketahui umum.
Dalam menjayakan industri ini, peranan penyelidik perikanan sangat signifikan. Penyelidikan yang berterusan telah membawa kepada penemuan kaedah ternakan yang lebih praktikal, murah dan efisien, sekaligus menjamin kesinambungan pengeluaran hasil latok secara mampan. Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Pulau Sayak tidak terkecuali dalam memainkan peranan penting melalui pembangunan teknologi ternakan latok inovatif yang dikenali sebagai LatokBY2.0 (Latok Back Yard).
Latok merupakan tumbuhan akuatik yang hidup dalam persekitaran air masin dan memerlukan cahaya, suhu, saliniti dan nutrien yang mencukupi untuk pertumbuhan yang baik. Dalam kaedah ternakan konvensional, penggantian atau penambahan nutrien memerlukan penukaran air baharu sebanyak 20-30% setiap minggu bagi memastikan sumber nutrien mencukupi. Amalan ini merupakan satu cabaran kepada pengusaha, terutamanya dari segi penggunaan air dan tenaga kerja.
Namun begitu, inovasi teknologi LatokBY2.0 telah mengatasi keperluan penukaran air mingguan melalui sistem ternakan tanpa tukar air. Teknologi ini menawarkan pelbagai kelebihan yang dapat membantu meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos operasi termasuk penjimatan sehingga 60% penggunaan air dan pengurangan 50% kos buruh bagi kerja-kerja penyelenggaraan. Malah, kebergantungan terhadap sumber air masin turut dapat dikurangkan, sekaligus mengurangkan risiko gangguan akibat perubahan cuaca.
Satu lagi kelebihan utama teknologi ini ialah ia boleh diaplikasikan di kawasan pedalaman, iaitu kawasan yang jauh dari sumber air masin. Ini membuka peluang kepada lebih ramai pengusaha baharu untuk menceburi industri ini tanpa halangan lokasi atau infrastruktur.
Dari segi pelaksanaan, teknologi LatokBY2.0 bersifat fleksibel dan boleh disesuaikan mengikut skala pengeluaran yang diingini. Asas teknologi ini memerlukan komponen berikut:
  • 1 tangki berkapasiti 200.0 liter,
  • 2 plat asuhan bersaiz 40 cm x 40 cm,
  • Sistem pengudaraan,
  • Baja jenis foliar daripada ekstrak Laminaria japonica, dan
  • 500.0 gram benih pemula (starter) yang sihat.
Air masin bersih dengan kemasinan melebihi 25.0 ppt dimasukkan ke dalam tangki dua hari sebelum benih dimasukkan, dan ditapis menggunakan penapis (filter bag) bersaiz 5 mikron serta diberi pengudaraan. Sebanyak 250.0 gram benih diratakan pada setiap plat ternakan dan diikat kemas menggunakan kabel pengikat (cable tie). Plat yang mengandungi benih latok kemudiannya dimasukkan ke dalam tangki.
Parameter ternakan perlu dikawal dengan teliti untuk memastikan pertumbuhan yang optimum. Syarat yang disarankan ialah:
  • Cahaya: 1,000–2,000 lux (10.00 pagi–11.00 pagi), 3,000–4,000 lux (1.00 tengah hari–2.00 petang), 6,000–7,000 lux (3.00 petang–4.00 petang).
  • Suhu air: kurang daripada 31°C.
  • Latok hasil teknologi LatokBY2.0 berusia 30 hari dan sedia untuk dituai.



Sebanyak 5.0 ml baja foliar dimasukkan pada hari ke-3 ternakan, dan diulang setiap 7 hari sehingga hari ke-30. Latok boleh dituai selepas tempoh 30 hari tanpa sebarang aktiviti penukaran air. Dengan teknologi ini, hasil pengeluaran boleh mencecah 2.1 kg bagi setiap 0.2 tan metrik air dengan kadar pertumbuhan harian sebanyak 4.8%.
Kesimpulannya, LatokBY2.0 merupakan satu inovasi yang berpotensi besar untuk merintis perubahan dalam industri ternakan rumpai laut hijau di Malaysia. Ia bukan sahaja mesra pengusaha dan mesra alam, malah mampu meningkatkan daya saing produk tempatan di pasaran global.

Post a Comment

0 Comments