PERMATA ALAM AKUAKULTUR DAN SENI LANSKAP

Azolla sp.

 

PERMATA ALAM AKUAKULTUR DAN SENI LANSKAP

Oleh: Muhammad Mat Jamal & Afzan Muntaziana Mohd Pazai
Institut Penyelidikan Perikanan Glami Lemi, Negeri Sembilan.
afzanmuntaziana@dof.gov.my & muhdmatjamal@dof.gov.my
Tumbuhan Akuatik Menyokong Sistem Akuakultur yang Lestari
Tumbuhan akuatik merupakan tumbuhan unik yang hidup di dalam air sama ada sepenuhnya terendam, sebahagiannya berada di permukaan, atau terapung di atas air. Dalam konteks akuakultur, tumbuhan ini memberikan pelbagai manfaat signifikan bukan sahaja kepada kesejahteraan organisma akuatik, tetapi juga kepada ekosistem dan nilai estetika serta ekonomi. Justeru, integrasi tumbuhan akuatik dalam sistem akuakultur wajar diberi perhatian serius sebagai langkah ke arah pembangunan industri yang lebih hijau dan mampan.
Lemna minor


Penstabil Kualiti Air dan Ekosistem
Fungsi utama tumbuhan akuatik ialah bertindak sebagai penapis air semula jadi. Tumbuhan ini berupaya memerangkap zarah organik dan tidak organik di dalam air, sekali gus membantu membersihkan serta mengurangkan kekeruhan air. Spesies seperti keladi bunting dan kiambang mampu menyerap bahan toksik seperti ammonia dan nitrat yang terhasil daripada sisa makanan serta perkumuhan ikan, membantu mengekalkan kualiti air yang optimum.
Selain itu, tumbuhan akuatik memainkan peranan penting dalam mengurangkan nutrien berlebihan dalam air seperti fosfat dan nitrat, sekali gus mengawal pertumbuhan alga liar yang tidak terkawal dan mengelakkan kejadian eutrofikasi. Dalam sistem kolam terbuka, tumbuhan akuatik membantu mengekalkan keseimbangan ekosistem dan mengurangkan risiko penyakit serta masalah alam sekitar lain.
Di kawasan tanah bencah (wetland), tumbuhan akuatik seperti rumput gedabong (Phragmites karka), lembang (Typha angustifolia), rumput sendayan (Scleria sumatrensis), purun (Lepironia articulata), dan ubi purun (Eleocharis dulcis) digunakan untuk merawat air buangan sebelum dilepaskan ke sungai atau badan perairan. Malah, tumbuhan ini juga boleh dijadikan sebagai penunjuk biologi kepada tahap kesihatan ekosistem air.
Anubias nana.


Sumber Perlindungan dan Habitat Akuatik
Tumbuhan akuatik juga bertindak sebagai kawasan perlindungan semula jadi bagi haiwan akuatik, terutamanya anak ikan atau larva. Daun dan akar tumbuhan ini menyediakan tempat berlindung daripada pemangsa serta menjadi kawasan bertelur yang selamat.
Penyumbang Oksigen dan Penstabil pH
Melalui proses fotosintesis, tumbuhan akuatik menghasilkan oksigen yang penting bagi pernafasan ikan. Dalam sistem tertutup seperti kolam hiasan atau akuarium, tumbuhan ini menyerap karbon dioksida dan membebaskan oksigen, sekali gus membantu mengimbangi gas dalam air. Proses ini bukan sahaja mengurangkan risiko kematian ikan akibat kekurangan oksigen, malah membantu menstabilkan pH air.
Sumber Makanan Tambahan
Beberapa spesies tumbuhan akuatik turut berperanan sebagai sumber makanan tambahan untuk ikan dan haiwan ternakan lain. Contohnya, Azolla sp. dan Lemna minor boleh dijadikan makanan sampingan dalam sistem akuakultur, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada makanan formulasi. Tumbuhan seperti alga dan daun lembut juga sesuai sebagai diet tambahan kepada spesies ikan yang bersifat herbivor dan omnivor.
Cryptocoryne sp.


Nilai Estetika dan Ekonomi
Dalam aspek landskap, tumbuhan akuatik menambah nilai estetika dan kepelbagaian dalam akuarium serta kolam hiasan. Spesies seperti Vallisneria sp., Cabomba sp., Cryptocoryne sp. dan Anubias sp. memperkayakan visual dengan suasana semula jadi dan menarik. Tumbuhan berbunga seperti Spathiphyllum sp. atau "peace lily" menyerlahkan lagi keindahan kolam melalui bunga berwarna putih yang menawan.
Kaedah Pembiakan yang Mudah dan Ekonomik
Tumbuhan akuatik mudah dibiakkan melalui pelbagai kaedah seperti anak pokok, keratan batang, rizom dan sebagainya. Ia boleh tumbuh subur dalam pelbagai medium seperti pasu, tangki, pot atau kolam dengan penjagaan rapi yang merangkumi kelembapan, pendedahan cahaya matahari serta baja yang bersesuaian.

Post a Comment

0 Comments