| Kakitangan Jabatan Perikanan menjalankan aktiviti persampelan air untuk pengesanan plankton. |
KERACUNAN BIOTOKSIN KERANG-KERANGAN
Oleh: Sharena Mohamad Shaffie & Nurul Hidayah Roslan
Pusat Perikanan Darat, Pahang
sharena@dof.gov.my & nurulhidayah@dof.gov.my
Pusat Perikanan Darat, Pahang
sharena@dof.gov.my & nurulhidayah@dof.gov.my
Kerang-kerangan merupakan sumber protein yang sangat popular kerana kandungan protein yang tinggi, omega-3, zat besi, zink, magnesium dan vitamin B12. Walau bagaimanapun, satu risiko utama bagi pengguna kerang-kerangan ialah kehadiran biotoksin yang dihasilkan oleh alga mikroskopik yang dinamakan fitoplankton. Risiko ini boleh menjejaskan keselamatan makanan secara global.
Hubungkait antara kerang-kerangan dan plankton adalah melalui cara kerang-kerangan mengambil makanan secara penapisan (filter feeders). Sifat ini membolehkan mereka mengumpul mikrob termasuk plankton toksik di dalam tisu badan mereka.
Plankton terbahagi kepada fitoplankton dan zooplankton yang merupakan komponen asas rantaian makanan dalam ekosistem air semula jadi yang lain. Walaupun kebanyakan plankton adalah bermanfaat, terdapat beberapa spesies fitoplankton yang mampu menghasilkan toksin yang dikenali sebagai Harmful Algal Bloom (HAB). Plankton memainkan peranan penting dalam ekosistem akuatik kerana ia adalah pengeluar utama oksigen dan merupakan sumber makanan utama kepada anak-anak ikan dan kerang-kerangan. Plankton juga penting dalam kitaran karbon global dengan menyerap karbon dioksida (CO2) dan melepaskan oksigen (O2) melalui fotosintesis. Namun, apabila terdapat ledakan populasi alga atau 'algae bloom' yang luar biasa, ia boleh mendatangkan bahaya melalui penghasilan biotoksin.
Jenis Keracunan Biotoksin
Terdapat tujuh spesies plankton berbahaya yang sering terdapat di perairan Asia Pasifik dengan kesan keracunan yang berbeza-beza. Antaranya ialah:
- Alexandrium sp. dan Pyrodinium sp.: Menghasilkan saxitoxins yang boleh menyebabkan Paralytic Shellfish Poisoning (PSP).
- Dinophysis sp. dan Prorocentrum sp.: Menghasilkan Diarrhetic Shellfish Poisoning (DSP).
- Pseudo-nitzschia sp.: Menghasilkan domoic acid yang boleh menyebabkan Amnesic Shellfish Poisoning (ASP).
| Spesies kerang-kerangan yang sering dipantau. |
| Imej mikroskopik spesies plankton Alexandrium sp. yang dikesan di perairan Malaysia |
Program Pemantauan Kebangsaan
Menyedari risiko ini, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah melaksanakan program pemantauan kualiti kerang-kerangan yang dikenali sebagai National Shellfish Sanitation Program (NSSP). Di bawah program ini, persampelan plankton dan kerang-kerangan dilakukan secara berkala di kawasan-kawasan pengeluaran sumber perikanan. Langkah ini bertujuan untuk memantau kehadiran alga berbahaya dan memastikan produk perikanan di pasaran adalah selamat untuk dimakan. Kawasan-kawasan yang dikenal pasti mempunyai kepekatan biotoksin melebihi tahap keselamatan akan ditutup untuk aktiviti penuaian.
Bagi mengelakkan keracunan, orang awam dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap pengumuman rasmi daripada Jabatan Perikanan Malaysia mengenai status keselamatan kerang-kerangan di kawasan masing-masing.
0 Comments