STATUS PENYAKIT VIRAL NERVOUS NECROSIS (VNN) DALAM TERNAKAN IKAN MARIN DI MALAYSIA
Oleh: Adila Gulam & Kua Beng Chu
Pusat Penyelidikan Kesihatan Ikan Kebangsaan (NaFISH) adila@dof.gov.my
Pusat Penyelidikan Kesihatan Ikan Kebangsaan (NaFISH) adila@dof.gov.my
Penyakit Viral Nervous Necrosis atau VNN adalah sejenis penyakit bawaan virus yang menyerang pelbagai spesies ikan, sama ada di laut, sungai atau kolam. Virus ini menyebabkan kematian yang tinggi kepada anak ikan marin bermula dari umur 10 hari selepas menetas. Virus yang menyebabkan penyakit ini dinamakan Nervous Necrosis Virus (NNV) dari genus Betanodavirus, famili Nodaviridae. Genom nodavirus hanya mempunyai 2 genun iaitu RNA1 (kapsid) dan RNA2 (RNA polimerase) (ICTV). Betanodavirus menyerang makrofaj dan sel saraf pusat serta retina haiwan akuatik tetapi NNV juga ada dikesan di dalam tisu seperti insang, usus, jantung, limpa dan buah pinggang. Sebagai virus RNA yang sangat kecil dan boleh dipindahkan dari satu ikan ke ikan yang lain secara mendatar (melalui air dan sentuhan) atau menegak (dari induk ke anak), virus ini menyerang sistem saraf dan menyebabkan tanda-tanda penyakit seperti hilang keseimbangan, badan yang disengetkan dengan gaya berenang tidak normal seperti berpusing, berenang menegak atau melompat selain tanda-tanda lain seperti badan yang gelap, mata yang kusam atau buta dan perut yang kembung.
Sejarah dan Perkembangan Penyakit
Penyakit ini mula dikesan pada tahun 1988 yang menyebabkan kematian anak ikan kerapu di Australia. Kemudian pada tahun 1990, virus ini telah dilihat di bawah mikroskop elektron di mana ia mempunyai saiz antara 25 hingga 30 nm. Saintis juga melaporkan kehadiran penyakit ini dalam ikan "Striped Jack" (Mori et al., 1992) maka virus ini diberi nama Striped Jack Nervous Necrosis Virus (SJNNV). Pada masa kini, empat genotip telah dikenal pasti mengikut spesies ikan yang dijangkiti iaitu: Barfin Flounder Nervous Necrosis Virus (BFNNV), Red-spotted Grouper Nervous Necrosis Virus (RGNNV), Striped Jack Nervous Necrosis Virus (SJNNV), dan Tiger Puffer Nervous Necrosis Virus (TPNNV). RGNNV merupakan genotip yang paling meluas menjangkiti spesies ikan di kawasan beriklim panas, manakala BFNNV dan SJNNV dominan di negara beriklim sejuk. Sehingga kini, lebih daripada 120 spesies ikan telah dijangkiti oleh virus ini di seluruh dunia, bukan sahaja melibatkan ikan marin tetapi juga spesies air tawar.
Malaysia tidak terkecuali daripada serangan VNN dalam beberapa spesies ikan marin yang diternak seperti ikan Kerapu Harimau (Epinephelus fuscoguttatus), Kerapu Macan (Epinephelus polyphekadion), Siakap (Lates calcarifer) dan Bawal Emas (Trachinotus blochii). Virus ini juga telah mula menyerang ikan tilapia di air tawar. Ternakan di dalam sangkar laut paling banyak dijangkiti dengan lebih meluas lagi kerana virus ini boleh tersebar di dalam sistem perairan umum di Malaysia dan juga di seluruh dunia. Jangkitan virus ini dianggap sebagai salah satu penyakit baru muncul (emerging) dan tidak boleh dipandang remeh.
Diagnosa dan Pemantauan
Kajian mengenai penyakit VNN dalam ikan marin di Malaysia telah bermula sejak tahun 2000 oleh Pusat Penyelidikan Kesihatan Ikan Kebangsaan (NaFISH). Pada masa itu, tumpuan lebih diberikan kepada pembangunan teknik pengesanan yang pantas, sensitif dan spesifik, iaitu kaedah Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR). Kini, teknik ini telah digunakan secara meluas di NaFISH sebagai khidmat diagnosa yang dikesan sebagai VNN. Selain itu, teknik terkini seperti kaedah Real Time-PCR (qPCR) juga turut mempercepatkan pengesanan virus ini terutamanya dalam sampel ikan yang mempunyai virus yang sedikit.
Kajian NaFISH di hatceri-hatceri di seluruh Malaysia pula mendapati hampir 80% benih ikan marin mempunyai masalah VNN ini, terutamanya pada peringkat larva dan anak ikan yang bersifat pembawa. Melalui siri kajian, penyelidik telah melaporkan bahawa mereka melihat ikan berenang secara tidak normal atau berenang pusing-pusing sebelum ia mati dalam tempoh yang singkat jika kualiti air menurun. Jangkitan VNN meningkat apabila suhu air melebihi 30°C dan suhu persekitaran yang tidak stabil. Ikan-ikan yang berada di dalam air dalam jangka masa yang panjang akan mengalami tekanan berterusan dan melemahkan sistem pertahanan badan melawan penyakit. Akibatnya, virus ini yang sedia ada dalam persekitaran air atau dalam badan ikan itu sendiri atau dibawa dari sumber yang lain akan menyebabkan jangkitan penyakit VNN dari satu ladang ke satu ladang yang lain.
Pada tahun 2023 sahaja, NaFISH telah menerima beberapa laporan kes kematian ikan yang ada di Johor, Kedah dan Pahang. Pemeriksaan melalui kaedah RT-PCR & qPCR memberikan keputusan positif VNN daripada sampel ikan yang dihantar untuk ujian. Keadaan ini memberi kesan kepada industri ikan marin Malaysia apabila tiada ubat/rawatan yang boleh diberikan, selain bantuan teknikal bagi membantu memberikan kawalan penyakit VNN ini dalam sistem hatceri dan ternakan, serta khidmat nasihat yang berterusan kepada penternak.
Bagaimana Kaedah Pengawalan dan Pencegahan Penyakit VNN?
Secara amnya, VNN sukar dikawal jika dibiarkan dalam sistem industri perikanan yang masih bergerak secara sebahagian. Sama seperti virus-virus lain yang mengancam nyawa manusia, tiada kaedah rawatan yang khusus bagi penyakit virus. Apa yang boleh dicadangkan kepada penternak bergantung kepada punca kemasukan virus tersebut ke kawasan ternakan dan juga amalan pengurusan hatceri. Khidmat nasihat yang diberikan selalunya tertumpu kepada 2 perkara utama iaitu pengawalan penyakit dan pembersihan ladang/penggunaan peralatan bersih. Biasanya, VNN masih boleh berlaku terutamanya di kawasan-kawasan ternakan yang mempunyai sejarah penyakit ini. Disamping itu, faktor persekitaran juga mempengaruhi virus ini merebak dengan cepat, seperti pada musim panas dan kawasan yang mempunyai kepadatan ternakan ikan marin yang tinggi. Hatceri yang mengeluarkan benih ikan pula selalunya diuji positif walaupun tanpa tanda penyakit. Keadaan ini menyukarkan penternak untuk mendapat benih yang benar-benar bebas dari VNN tanpa saringan awal atau sijil kesihatan.
NaFISH telah lama menyelidik kes-kes penyakit VNN dalam akuakultur di Malaysia. Kajian terhadap penyakit ini telah diperkasakan sejak tahun 2000 lagi berdasarkan kepada kepakaran dan spesifikasi peralatan yang ada pada waktu itu. Kini, kajian terhadap penyakit VNN mula berfokus kepada langkah-langkah pencegahan awal dan juga kawalan seperti pembangunan teknik-teknik pengesan cepat dan juga saringan virus. Walau bagaimanapun, terdapat banyak halangan dalam mempercepatkan proses kajian yang melibatkan ujian atau ubat antivirus kerana ia melibatkan kos yang sangat tinggi, selain ketersediaan di makmal dan lapangan sebelum boleh diaplikasikan. Langkah ini akan mengambil masa yang agak lama memandangkan penyakit ini telah pun endemik di Malaysia, selain genom penyakit VNN atau virus ini yang sukar dikawal. Apa yang kita dapat sekarang, bukan sahaja terdapat genotip RGNNV di Malaysia, tetapi dikhuatiri terdapat proses mutasi virus ini di mana berlakunya persilangan genetik antara 2 genotip iaitu RGNNV dan SJNNV.
Jika ini berlaku, maka langkah pencegahan menggunakan vaksin sedia ada yang dikaji oleh NaFISH akan menjadi lebih sukar. Buat masa ini, pencegahan penyakit ini melalui penggunaan amalan biosekuriti yang ketat di hatceri merupakan langkah terbaik yang dicadangkan oleh DOF. Secara idealnya, ia perlu dilakukan secara bersama dan bukan bersifat individu. Selain itu, setiap hatceri perlu komited dalam menyokong program kesihatan ikan di peringkat ladang masing-masing bagi memastikan bekalan benih yang dihantar itu sihat. Manakala pengurusan ladang harus memastikan bekalan makanan yang berkualiti diberikan kepada induk ikan dan anak ikan bagi memastikan benih yang dihasilkan adalah sihat dan bebas dari virus ini bermula dari peringkat induk (induk bebas penyakit) sehingga benih ikan dihantar ke kolam atau sangkar ternakan.
Kerajaan juga boleh mengambil langkah secara proaktif bagi mengawal penyakit VNN di peringkat negara. Walau bagaimanapun, perkara ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana virus ini boleh kekal dalam persekitaran air selain faktor pembawaan semula jadi dalam air laut. SOP ataupun Akta bagi penguatkuasaan kawalan dan pencegahan penyakit ikan, khususnya untuk spesies ikan yang diternak perlu diperkenalkan kepada industri ikan marin yang lain bagi memastikan industri ikan marin perikanan di Malaysia terus mampan. Masa depan industri ikan marin adalah bergantung kepada pencegahan penyakit VNN yang baik bermula daripada induk sehinggalah kepada peringkat penjualan. Hal ini demikian kerana ikan yang membawa virus ini akan tetap mengalami kematian walaupun ia berada di peringkat pasaran jika kualiti persekitaran, kualiti air dan faktor persekitaran adalah tidak memihak kepada mereka pada masa yang sesuai.
📊 Ringkasan Data Utama:
- Negeri Fokus: Terengganu dan Pulau Pinang (pengeluar terbesar).
- Trend: Peningkatan kes positif pada tahun 2023.
- Risiko Mutasi: Kebimbangan terhadap persilangan genetik antara RGNNV dan SJNNV.
- Cadangan Utama: Amalan biosekuriti ketat dan penggunaan induk bebas penyakit.
0 Comments