Gut Scorecard: Kit pengesan awal kesihatan udang ternak marin di lapangan beserta petunjuk tindakan mitigasi (0 hingga 2)
SHOS-Spotter – Kit Pengesanan Kesihatan Udang Ternakan di Lapangan
Oleh: Iftikhar Ahmad Abdul Rafi, Padilah Bakar dan Kua Beng Chu
Institut Penyelidikan Perikanan, Batu Maung, Pulau Pinang.
Institut Penyelidikan Perikanan, Batu Maung, Pulau Pinang.
Latar Belakang
Serangan penyakit menjadi penyebab utama kematian udang marin yang diternak dan membawa kerugian besar kepada penternak. Ancaman penyakit Early Mortality Syndrome (EMS) / Acute Hepatopancreatic Necrosis Disease (AHPND) pada sekitar tahun 2011 - 2012 telah menyebabkan kerugian sebanyak USD1.3 bilion kepada industri penternakan udang marin.
Pada tahun 2015, penyakit Mikrosporidian Enterocytozoon Hepatopenaei (EHP) pula dikesan yang menyebabkan peningkatan kos operasi akibat tumbesaran udang yang terbantut. Kedua-dua penyakit tersebut telah memberi impak yang ketara dalam industri penternakan udang. Walau bagaimanapun, kematian udang yang disebabkan oleh kedua-dua penyakit tersebut boleh diminimumkan sekiranya dipantau dan diambil tindakan awal di peringkat ladang.
Inovasi SHOS-Spotter
Sehubungan itu, penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan, Batu Maung, Pulau Pinang telah menghasilkan inovasi Kit Pengesanan Kesihatan Udang Ternakan di Lapangan atau dikenali sebagai “SHOS-Spotter” bagi membantu penternak udang marin. Inovasi ini dapat membantu penternak kerana ia didatangkan bersama dengan syor tindakan mitigasi awal untuk mengurangkan kematian udang marin yang diternak.
SHOS-Spotter merupakan kaedah pengesanan yang pantas dan praktikal di peringkat ladang dan menjadi alternatif kepada kaedah pengesanan sedia ada yang mengambil masa yang lama serta kos yang tinggi. SHOS-Spotter boleh mengesan kesihatan udang dalam masa antara satu hingga tiga jam berbanding tiga jam hingga dua minggu bagi kaedah sedia ada iaitu Polymerase Chain Reaction (PCR), real-time RT-PCR, pemencilan bakteria dan histopatologi.
Model dan Metodologi
Model SHOS-Spotter dibangunkan berdasarkan kepada dua jenis penyakit iaitu penyakit EMS / AHPND dan EHP dalam penternakan udang marin. Status penyakit udang dikesan berdasarkan kepada pemeriksaan mikroskopik kehadiran sel hepatopankreas di dalam saluran usus udang (sistem gastro-usus). Cetusan toksin dari bakteria Vibrio parahaemolyticus (penyebab penyakit AHPND) dan jangkitan mikrospora EHP di sistem pencernaan dan penghadaman udang telah menyebabkan sel hepatopankreas tersingkir dari kedudukan asalnya dan disalurkan ke usus iaitu tindakan semula jadi udang untuk mengeluarkannya dari badan.
Hanya tiga langkah terlibat untuk mengendalikan SHOS-Spotter. Langkah pertama ialah mengeluarkan keseluruhan usus daripada udang, diikuti langkah kedua dengan pemerhatian sel hepatopankreas dalam usus di bawah mikroskop mudah dan langkah ketiga dengan tafsiran kad skor usus diikuti dengan cadangan tindakan susulan yang perlu diambil. Dalam situasi ini, penternak dibekalkan dengan langkah mitigasi segera untuk mengambil keputusan bagi mengurangkan kerugian akibat kematian apabila udang dilanda penyakit.
Kelebihan dan Pengiktirafan
Oleh itu, inovasi SHOS-Spotter boleh digunakan sebagai petunjuk kesihatan udang yang sesuai diguna pakai di lapangan secara berkala kerana ia dapat menjimatkan masa dan kos operasi penternakan serta senang digunakan kerana langkah-langkah rawatan diringkaskan dalam bentuk bergambar. Kit pengesanan ini juga senang disimpan dan mudah dibawa ke mana sahaja untuk tujuan demonstrasi semasa sesi dialog bersama kumpulan sasar.
Inovasi SHOS-Spotter telah memenangi Pingat Perak di Malaysian Technology Expo 2022 bagi kategori Public Service Innovation Awards dan tempat ketiga di Pertandingan Anugerah Inovasi Jabatan Perikanan Malaysia 2023 bagi Kategori Teknikal Berkumpulan.
0 Comments