Kajian verifikasi FSI yang dijalankan di perairan Labuan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk MYSA dan NEKMAT.
Teknologi Penentuan Lokasi Tangkapan Ikan (FSI): Pemodenan Sektor Perikanan Tangkapan Ikan Pelagik
Oleh: Ohairil Shyamri Rosli & Jamil Musel
Institut Penyelidikan Perikanan Bintawa, Sarawak.
Institut Penyelidikan Perikanan Bintawa, Sarawak.
Pengenalan
Wilayah Persekutuan Labuan: Sistem Penentuan Lokasi Tangkapan Ikan atau lebih dikenali sebagai Fishing Site Identification (FSI) merupakan satu teknologi yang telah dibangunkan dengan kolaborasi bersama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).
Objektif utama pembangunan sistem aplikasi ini adalah untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup nelayan melalui peningkatan produktiviti dan pengurangan kos operasi harian nelayan. Di samping itu, sistem ini juga dapat menjimatkan masa pencarian lokasi penangkapan ikan, sekali gus mengurangkan kos operasi kerana kurang penggunaan bahan api petrol dan diesel.
Konsep penggunaan aplikasi ini adalah dengan menggunakan data cerapan satelit bagi mendapatkan densiti klorofil-a dan suhu permukaan air laut di perairan Malaysia. Secara umum, alga dan fitoplankton merupakan makanan primer bagi ikan-ikan di laut. Klorofil-a pula adalah pigmen hijau yang terdapat pada hidupan air seperti alga dan fitoplankton dalam menjalankan proses fotosintesis.
Peningkatan densiti klorofil-a dapat menjadi tanda aras akan kepadatan alga dan fitoplankton di permukaan air yang berfungsi sebagai sumber makanan primer bagi ikan-ikan di laut. Kepadatan klorofil-a di sesuatu kawasan merupakan petunjuk akan ketersediaan sumber makanan, sekali gus menjadi daya tarikan kepada ikan untuk berkumpul di kawasan tersebut.
Melalui sistem aplikasi FSI yang menggunakan data cerapan satelit, sistem tersebut akan menjana satu peta yang mengandungi maklumat latitud dan longitud kawasan yang mempunyai kepadatan klorofil-a yang tinggi dan suhu permukaan air yang sejuk.
Akses dan Pendaftaran
Lokasi-lokasi berpotensi tinggi untuk mendapatkan ikan ini akan dapat diakses oleh pemilik-pemilik lesen vesel perikanan tangkapan yang berdaftar sistem FSI. Koordinat cerapan juga hanya sah bagi tempoh tiga hari daripada tarikh cerapan dan sistem ini dapat diakses melalui telefon bimbit atau komputer menerusi laman sesawang sistem aplikasi FSI. Syarat utama bagi membuka akaun sistem FSI adalah pemohon wajib memiliki lesen vesel perikanan tangkapan yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia. Pendaftaran bagi aplikasi ini adalah percuma.
| Antara muka pendaftaran akaun dan log masuk sistem aplikasi FSI untuk pemilik vesel. |
Latihan dan Verifikasi
Jabatan Perikanan Malaysia telah menganjurkan beberapa Program Lonjakan Aplikasi FSI di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Labuan dalam usaha melatih nelayan kaedah penggunaannya. Terbaru, Program Lonjakan Aplikasi FSI ini telah dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan yang dirasmikan oleh YBhg. Dato' Adnan bin Hussain, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia pada 16 hingga 18 Ogos 2023 yang disertai seramai 20 orang nelayan. Program yang sama juga telah dijalankan di Kuching, Sarawak pada tahun 2022 yang melibatkan penyertaan sebanyak 20 orang nelayan daripada seluruh negeri berkenaan.
Kajian verifikasi sistem FSI juga dijalankan pada setiap tahun bagi menentukan ketepatan maklumat lokasi yang diberikan melalui pengambilan maklumat kualiti air dan pendaratan ikan di kawasan berkaitan. Melalui kajian ini, data dianalisis dan hasilnya akan digunakan dalam membangun dan memperkasa sistem sedia ada. Hala tuju sistem aplikasi FSI ini adalah penggunaan secara meluas oleh pihak nelayan dalam menjalankan operasi perikanan tangkapan ke arah pengurusan industri perikanan yang lestari dan mampan.
0 Comments