Perubahan iklim dunia yang kini nyata berlaku dijangka akan mengakibatkan kejadian kelunturan karang semakin kerap dan berskala besar. Kesan daripada peningkatan suhu air laut global dan impak setempat daripada aktiviti manusia memberi tekanan tambahan ke atas ekosistem terumbu karang. Ia menjadikan ekosistem ini lebih mudah terdedah kepada berlakunya kejadian kelunturan karang. Di rantau Indo Pacific, kejadian kelunturan karang telah dilaporkan berlaku semenjak tahun 1980-an (Birkeland, 1997). Manakala di Malaysia, kejadian kelunturan karang yang pertama direkodkan berlaku pada tahun 1998 dan diikuti pada tahun 2010, 2014 dan 2016.
Kecenderungan suhu bumi yang
terus meningkat akibat daripada perubahan iklim telah menyebabkan berlakunya
kelunturan karang yang mana merupakan satu isu global. Menurut Wilkinson
(1999), kelunturan karang yang dikaitkan dengan fenomena El Nino pada tahun
1997-1998 telah memusnahkan sekitar 16% terumbu karang di dunia. Kejadian
kelunturan karang turut diramal akan menjadi satu peristiwa tahunan menjelang
tahun 2020 bagi terumbu di perairan di Asia Tenggara dan Carribean manakala di
perairan Great
Barrier Reef, Australia
menjelang tahun 2030 (Hoegh-Guldberg, 1999). Walau bagaimanapun, pada tahun
2016 dilaporkan hampir 93% terumbu karang di Great Barrier Reef mengalami
kelunturan dan 25% daripada terumbu sepanjang 2,300km kini telah mati (The
Guardian, 2016).
Bagaimana Proses Kelunturan
Karang Terjadi?
Karang adalah hidupan marin
yang unik dan peka terhadap sebarang perubahan persekitaran air laut. Karang
terbentuk daripada ribuan haiwan kecil yang dikenali sebagai polip. Haiwan ini
mempunyai hubungan simbiotik yang istimewa dengan sejenis tumbuhan seni atau
alga dikenali sebagai zooxanthellae yang tumbuh di dalam tisu polip.
Zooxanthellae yang menjalankan proses fotosintesis membekalkan lebih daripada
90% zat dan tenaga yang diperlukan oleh polip untuk membesar dan membiak. Ia
juga menyebabkan polip karang yang lutsinar dan kerangkanya yang putih
mempunyai pelbagai jenis warna menarik.
Apabila suhu air laut
meningkat 1- 2oC dari paras normal (27 - 29oC) selama tempoh 4 minggu secara
berterusan, hubungan simbiotik antara polip dan Zooxanthellae akan terputus.
Tanpa Zooxanthellae, polip akan kembali kepada keadaan lutsinar yang asal dan
warna putih pada rangka karang akan kelihatan. Proses ini yang dinamakan
kelunturan karang (Marshal et al, 2006). Semasa peringkat ini, karang masih
hidup dan mampu untuk pulih sediakala jika tekanan ke atas karang dapat
dikurangkan. Ini kerana polip masih boleh hidup untuk seketika tanpa
Zooxanthellae dalam tempoh yang singkat ini. Jika persekitaran air kembali
normal, Zooxanthellae akan kembali mendiami polip karang dan sumber tenaga
dapat dipulihkan serta warna karang kembali sediakala. Namun jika
tekanan ke atas karang berlarutan dalam tempoh lebih dari 8 minggu,
polip karang akan mula mati akibat ketiadaan Zooxanthellae yang membekalkan
makanan dan tenaga kepadanya. Permukaan kerangka karang akan mula ditumbuhi
alga hijau yang bersaing hidup dengan karang tersebut. Pada peringkat ini,
tiada harapan untuk karang kembali pulih. Terumbu karang yang mengalami kadar
kematian yang tinggi akibat kelunturan akan mengambil masa yang lama untuk
kembali pulih sediakala.
Kejadian kelunturan karang
telah direkodkan berlaku di perairan Taman Laut pada tahun 1998, 2010 dan 2016.
Pemantauan tahunan terhadap litupan karang hidup (LKH) telah dijalankan di
perairan Taman Laut semenjak tahun 2007. Berdasarkan Rajah 1, kejadian
kelunturan karang telah berlaku pada tahun 2010 dan ini telah menunjukkan
penurunan peratusan LKH 2010, 46.1%
berbanding tahun 2009
(53.1%). Namun, terumbu karang di Taman Laut kembali pulih pada tahun 2012
dengan peningkatan LKH kepada 51.2%. Selang enam tahun kemudian, kejadian
kelunturan karang direkodkan pula pada tahun 2016 yang berskala kecil
berbanding tahun 2010. Rekod menunjukkan penurunan LKH di tahun 2016 kepada 52.9% berbanding
tahun 2015 (56.8%). Namun,
berdasarkan pemantauan yang dijalankan, penurunan peratusan LKH di tahun 2017
hingga 2021 adalah atas faktor lain dan bukan akibat kejadian kelunturan
karang.
Ekosistem terumbu karang
telah dikenal pasti sebagai habitat bagi pembiakan, perlindungan dan tumbesaran
kepada hampir 25% sumber perikanan. Selain itu, ekosistem terumbu karang turut
berfungsi sebagai pelindung kawasan persisiran pantai, mengawal edaran suhu dan
kitaran air, sumber perubatan, serta daya tarikan pelancong. Nilai ekonomi yang
disumbangkan oleh ekosistem terumbu karang khususnya di Taman Laut berjumlah
antara RM 10.1 juta hingga RM
3.4 billion setahun (Lim & Izarenah, 2016).
Kemusnahan terhadap
terumbu karang.
akan menjejaskan fungsi dan
perkhidmatan yang disediakan oleh ekosistem tersebut khususnya kepada manusia.
Ini secara langsung akan memberi impak terhadap ekonomi negara dan menjejaskan
sumber pendapatan rakyat yang bergantung kepadanya. Oleh kerana hampir seluruh
daripada kita dan masyarakat dunia terkesan daripada kemusnahan karang, maka
adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memelihara dan memulihara
ekosistem ini yang penting untuk kesinambungan hidup manusia sejagat.
Justeru, Jabatan telah
mengambil langkah proaktif sebagai persediaan awal sebelum kejadian kelunturan
karang berlaku di perairan negara khususnya di Taman Laut. Antara tindakan yang
telah dan sedang diambil ialah:
(i) Pemantauan tahunan litupan karang secara berterusan.
(ii) Pemantauan kualiti air di Taman Laut.
(iii) Pembentukan Pelan Tindakan Kelunturan Karang menggariskan
langkah-langkah mitigasi segera, jangk a pendek dan jangk a panjang bagi
menangani kejadian kelunturan karang.
(iv) Mengenalpasti kawasan terumbu karang yang berdaya tahan
‘resilience’ daripada sebarang ancaman perubahan iklim melalui kajian bersama
pelbagai pihak.
(v) Pengawalan kesan pembangunan di daratan.
(vi) Menjalankan Program Restorasi Karang di habitat terdegradasi
sebagai langkah pemulihan.
(vii) Pembangunan kapasiti kakitangan DOF dalam menjalankan pemantauan
karang.
0 Comments