PEMANASAN GLOBAL KESAN DAN IMPAKNYA KEPADA BIODIVERSITI MARIN

 


Pesisiran pantai merupakan ekologi dan sosioekonomi paling penting di dunia. Habitat marin bermula dari pesisiran pantai sehinggalah ke pelantar benua menyumbang sehingga USD 14 trilion merangkumi sumber bahan mentah, makanan, perikanan, pelancongan, perkhidmatan dan lain-lain (Costanza et al., 1997). Di Malaysia, Total Economic Value (TEV) melalui kajian yang dijalankan di perairan Taman Laut mendapati nilai ekonomi di Pulau Payar sebanyak RM 174 juta setahun, Pulau Tioman RM 3.4 biliion setahun, Pulau Redang RM 354 juta setahun, Pulau Tinggi RM 3.6 billion setahun, Pulau Kuraman RM 39.6 juta setahun dan Pulau Perhentian sebanyak RM 1.05 bilion setahun. Kesemua nilai-nilai yang menyumbang kepada TEV yang diperolehi ini perlu dijaga dan dipulihara daripada pelbagai ancaman samada semulajadi ataupun dari aktiviti manusia.

 

Perubahan iklim didefinisikan sebagai perubahan dalam taburan statistik cuaca dalam tempoh masa yang panjang serta melibatkan jutaan tahun. Perubahan iklim ini adalah disebabkan oleh faktor-faktor seperti proses biotik, perubahan dalam sinaran suria yang diterima oleh bumi, tektonik plat dan letusan gunung berapi. Aktiviti manusia tertentu juga telah dikenal pasti sebagai punca ketara perubahan iklim kebelakangan ini yang sering kali dirujuk sebagai pemanasan global. Fenomena pemanasan global memberi gambaran wujudnya ketidakseimbangan dalam sistem cuaca. Input haba yang diterima oleh sistem bumi adalah berlebihan berbanding outputnya. Justeru, kenaikan suhu akan dirasai pada semua skala sama ada mikro atau makro.

 

PERUBAHAN IKLIM TERHADAP BIODIVERSITI MARIN

 

Perubahan iklim membawa cabaran baharu terhadap biodiversiti marin. Dengan peningkatan kadar CO2 sejak berkurun yang lalu, ianya merupakan satu indikator utama yang akan mendorong kepada kehilangan sumber biodiversiti di seluruh dunia (Sala et al., 2000; Thomas et al., 2004). Suhu purata global telah meningkat sebanyak 0.20C setiap dekad manakala purata penurunan hujan telah meningkat sebanyak 2% untuk tempoh 100 tahun yang lepas (IPCC, 2007a). Perubahan iklim juga telah membawa kepada kepupusan beberapa spesies marin (McLaughlin et al., 2002; Pounds et al., 2006). Kesan pemanasan ini juga turut melibatkan perubahan tingkahlaku dalam sesuatu populasi seperti perubahan musim pembiakan dan biomass serta mengganggu interaksi di antara spesies (Walter et al., 2002). Pemuliharaan biodiversiti amat bergantung kepada suatu ekosistem yang stabil di   kawasan   yang   dilindungi di mana tiada sebarang ancaman yang boleh menggugat kadar perkembangannya (Lemieux and Scott, 2005). Dengan magnitud perubahan iklim yang dialami pada abad ini, adalah dijangkakan terdapat spesies marin yang akan mengalami kepupusan di sesuatu kawasan perlindungan marin (Aroujo   et al., 2004; Burns et al., 2003). Pemahaman mengenai ekologi dan biologi spesies marin di sesuatu kawasan perlindungan marin adalah perlu dalam memastikan matlamat dan tujuan pemuliharaan berjaya. Perubahan iklim juga memberi kesan besar terhadap kenaikan paras air laut secara tahunan iaitu di antara +2.6 milimeter dan 2.9 milimeter setiap tahun semenjak 1993.

 

PENINGKATAN TAHAP KESEDARAN DAN PENDEDAHAN

 

Kesedaran rakyat Malaysia dan dunia mengenai perubahan iklim amnya masih di tahap rendah. Namun begitu, bukan semua rakyat Malaysia tidak prihatin kepada isu- isu alam sekitar. Dalam perkara ini, setiap individu perlu mempunyai peranan masing- masing dalam menangani impak dan kesan perubahan iklim.

 

Pengurusan sumber semula jadi yang tidak terancang seperti pembalakan tidak terkawal, penerokaan tanah secara berleluasa, pelepasan gas karbon dioksida ke atmosfera, pembuangan sisa pepejal dan sebagainya mengundang kepada pelbagai kesan dan menyebabkan pencemaran. Jika pengurusan sumber semula jadi ini tidak

 

diuruskan dengan baik, ia turut menjejaskan kualiti hidup manusia dan alam sekitar. Impak pelepasan karbon dioksida jarang didedahkan dan tidak diketahui ramai kerana sifat gas tersebut yang tidak berbau dan bukan toksik. Konsentrasi karbon dioksida di atmosfera telah meningkat daripada kira-kira 280 bahagian sejuta (ppm) dicatat di kurun ke-18 (sebelum era revolusi perindustrian) kepada 421.94 ppm pada 2

Jun 2023 (NOAA).

 

Justeru, masyarakat dunia kini menghadapi dua cabaran utama, iaitu isu perubahan iklim dan keselamatan tenaga. Kedua-dua isu ini harus ditangani secara kolektif dan efektif. Satu pendekatan yang kritis perlu diambil segera. Tindakan mitigasi dan adaptasi perlu dilakukan bagi memastikan pendekatan pemuliharaan biodiversiti marin yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim bagi memenuhi aspirasi negara dalam menerajui kelestarian alam sekitar. Pengetahuan berkenaan penyerapan CO2 oleh air laut, terumbu karang, rumput laut, paya bakau dan lain-lain spesies marin dapat membantu manusia untuk memahami sejauh mana kesan interaksi di antara aktiviti manusia dan alam semula jadi dalam melambatkan kesan perubahan yang berlaku akibat perubahan iklim.

 

ISU DAN CABARAN

 

Isu dan cabaran dalam berdepan perubahan iklim menuntut kerjasama melalui komunikasi dan memerlukan penyelarasan yang cekap di kalangan pihak berkepentingan untuk melaksanakan tindak balas yang berkesan ke atas perubahan iklim. Pengenalpastian serta membuat pengesyoran ke arah ekonomi

 

rendah karbon untuk sektor awam adalah perlu untuk memastikan pembangunan negara mengambil kira kelestarian alam sekitar untuk kesejahteraan manusia pada masa kini dan akan datang. Antara sektor tenaga yang boleh ditingkatkan seperti perindustrian, pengangkutan, infrastruktur awam, pengurusan sisa, penempatan manusia, perhutanan, perikanan dan pertanian.

 

CADANGAN DAN PENGESYORAN

 

Kebanyakan negara di dunia menggunakan bahan bakar fosil untuk menjana tenaga elektrik. Terdapat alternatif lain tetapi kita tidak menggunakannya secara bijak, berkesan dan menyeluruh. Teknologi rendah karbon dan boleh diperbaharui perlu diperkasakan melalui perancangan tahunan jabatan dan agensi serta dijadikan keutamaan dalam penilaian bajet. Penggunaan tenaga rendah karbon adalah seperti penggunaan angin, air, solar, hibrid dan lain-lain yang bersumberkan alam semula jadi.

 

Sekiranya sesuatu tindakan drastik tidak dimulakan adalah dibimbangi keupayaan negara yang tidak bersedia untuk penyesuaian terhadap impak perubahan iklim sebenar dan yang dijangka. Langkah mitigasi harus diterajui bagi mempertingkatkan langkah- langkah adaptasi untuk pembangunan lestari. Impak perubahan iklim merentasi semua peringkat, sektor, pihak dan kumpulan berkepentingan serta menuntut langkah- langkah yang menyeluruh dan bersepadu. Keupayaan institusi dalam pelaksanaan dapat ditingkatkan secara berkesan dengan penyertaan secara bekerjasama berasaskan ilmu sains dan pengetahuan tempatan.



Post a Comment

0 Comments