AKUAKULTUR SELULAR: ADAKAH KITA SUDAH BERSEDIA?
Oleh: Wan Mazhumi Wan Muzadir dan Noor Affendi Barudin Sali
Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung & Bahagian Biosekuriti Perikanan sorhana@dof.gov.my
Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung & Bahagian Biosekuriti Perikanan sorhana@dof.gov.my
Apa itu Akuakultur Selular?
Akuakultur selular atau akuakultur berasaskan sel adalah kaedah novel untuk menghasilkan makanan laut tanpa proses ternakan di laut, sungai, kolam atau tangki. Kaedah ini menggabungkan prinsip-prinsip akuakultur dan kejuruteraan sel di mana sel haiwan akuatik seperti ikan, kerang atau udang dibiak di dalam bioreaktor di dalam makmal dan akhirnya dicetak mengikut bentuk makanan laut yang dikehendaki. Bioreaktor adalah sistem tertutup yang direka khas untuk proses pertumbuhan sel atau tisu dalam persekitaran terkawal. Makanan laut yang dihasilkan dengan cara ini dinamakan makanan laut kultur sel, makanan laut buatan makmal atau makanan laut sintetik. Objektif artikel ini adalah untuk mewujudkan kesedaran tentang komoditi baharu perikanan ini kepada kakitangan Jabatan Perikanan serta orang awam.
Manfaat Akuakultur Selular
Status Terkini
Kaedah penghasilan protein berasaskan sel telah lama diperkenalkan. Produk protein kultur sel yang pertama telah dihasilkan pada tahun 2013 oleh saintis daripada Universiti Maastricht, Netherlands iaitu daging kultur (Benson & Gaseru, 2023). Kaedah yang sama telah turut diaplikasikan pada ikan. Makanan laut kultur sel telah pun berada di pasaran luar negara.
Antara pengeluar utama makanan laut kultur sel adalah Amerika Syarikat (BlueNalu, Wildtype Foods, Upside Foods, Cultured Decadence, Finless Foods) dan Eropah (Bluu Seafood, Hooked, Magic Seafood). Selain itu, Singapura juga adalah peneraju di Asia Tenggara dengan pengeluar utama seperti Shiok Meats dan Umami Meats. Antara produk makanan laut kultur sel yang telah dihasilkan adalah filet ikan tuna, maki mahl, siakap merah, produk krustasea, whitefish, zebrafish, salmon, isi ketam, udang kara dan crayfish. Walaupun makanan laut kultur sel ini masih belum ada di pasaran Malaysia, namun sudah ada pertanyaan daripada pihak swasta untuk membawa masuk cell lines ikan bagi tujuan ini. Gambar di bawah menunjukkan contoh produk makanan laut kultur sel.
Akuakultur selular dijangka dapat memenuhi permintaan makanan laut dunia melalui sumbangan bagi 17% pembekalan protein global dengan cara yang mampan. Melalui kaedah ini juga, ia boleh membawa kepada penyelesaian persekitaran yang daripada eksploitasi berlebihan dan pencemaran yang signifikan. Analisis kitaran hayat menunjukkan bahawa penghasilan akuakultur selular boleh mengurangkan sehingga 95% penggunaan tanah berbanding kaedah biasa (Tuomisto, H. L., & Teixeira de Mattos, M. J., 2011). Kaedah ini menyediakan penyelesaian yang berpotensi untuk menangani bukan sahaja isu jaminan makanan, alam sekitar, kebajikan haiwan tetapi juga kesihatan awam kerana ia tidak bergantung kepada tangkapan liar dan berupaya untuk memanipulasi keperluan nutrien dan kualiti secara berstruktur, termasuk pengawalan asid lemak dan gaya pemakanan yang spesifik.
Bagaimanakah Makanan Laut Berasaskan Sel Dibuat?
Akuakultur selular adalah berasaskan teknik daripada kejuruteraan tisu perubatan dan akuakultur. Kerja awalan sistem pengeluaran protein filet ikan mas telah dibangunkan pada tahun 2002 dengan pembiayaan NASA (Benjaminson et al., 2002). Makanan laut kultur bermula dengan inokulasi sebilangan kecil cell lines ikan terpilih ke dalam bioreaktor yang mengandungi media pertumbuhan. Seterusnya, sel-sel tersebut berupaya berasal dari ikan air tawar dan air masin berkembang di dalam bioreaktor. Bioreaktor menyediakan persekitaran tertutup untuk menyokong pertumbuhan sel manakala media pertumbuhan membekalkan nutrien kepada sel untuk membesar dan membiak. Sel dikultur selama satu hingga dua minggu sebelum dituai. Untuk penyediaan bagi ikan dalam bentuk filet, perancah atau scaffold diperlukan bagi memberikan sokongan untuk pertumbuhan struktur sel.
Carta Alir Proses:
- Ikan: Pengambilan sampel tisu daripada ikan.
- Sel: Pengekstrakan sel daripada tisu.
- Bioreaktor: Pertumbuhan sel di dalam medium kultur.
- Produk: Penghasilan filet atau isi ikan.
Cabaran
Walaupun makanan laut kultur sel semakin mendapat tempat dan perhatian, masa depan masih lagi tidak menentu. Akuakultur selular belum dapat menyaingi dan belum stabil dengan pengeluaran daging kultur. Salah satu cabaran utama ialah kos pengeluaran yang masih tinggi. Proses penghasilan makanan laut kultur sangat bergantung kepada kualiti kultur sel yang spesifik, barisan cell lines yang rapuh terhad dan media pertumbuhan yang agak mahal. Namun, ia bukan bererti menafikan kelebihan penghasilan makanan laut tradisional.
Bukan itu sahaja, maklumat
pembangunan selular yang ada masih terhad untuk mengkultur sel otot spesies
marin dengan tepat serta pengoptimuman sel sebelum menghasilkannya secara
besar-besaran dalam bioreaktor. Selain itu, penerimaan pengguna juga belum
yakin disebabkan perasaan neophobia (rasa takut dengan makanan
yang baru dikenal
atau dilihat), tidak alami, kepercayaan etika, agama,
dan rasa yang tidak sama dengan makanan laut asli. Namun tidak dinafikan, ia
menyediakan banyak penyelesaian kepada isu alam sekitar, etika dan pemakanan
pengeluaran makanan laut moden.
0 Comments