CABARAN PENGHASILAN MAKANAN HIDUP IKAN BERKUALITI

Kandungan nutrisi yang tidak konsisten dan tidak menepati keperluan menyebabkan tumbesaran benih tidak optimal dan memberi impak

Pemberian makanan hidup (Moina sp). kepada rega ikan Kelah berusia 7 hari selepas menetas



CABARAN PENGHASILAN MAKANAN HIDUP BERKUALITI DAN MAMPAN BAGI AKTIVITI AKUAKULTUR

Oleh: Rohana Yahya, Suzana Ishak, Tazri Amil Shafie & Hanan Mohd Yusof
Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Glami Lemi, Jelebu, Negeri Sembilan
rohana@dof.gov.my
Di Malaysia, terdapat beberapa jenis makanan hidup yang sering digunakan untuk benih ikan dan udang dalam aktiviti akuakultur. Secara tradisionalnya, Artemia merupakan makanan hidup yang utama digunakan untuk peringkat asuhan pada peringkat larva (rega) ikan dan udang. Artemia mempunyai saiz yang baik dan sesuai untuk tahap awal perkembangan larva ikan dan udang. Selain itu, rotifer juga sering digunakan sebagai makanan hidup untuk benih ikan terutama pada tahap awal kerana kaya dengan nutrisi dan mudah dicerna oleh larva ikan terutamanya dalam industri pembenihan ikan marin. Manakala, kopepod adalah krustasea kecil yang sering digunakan sebagai makanan hidup untuk benih ikan dan udang mengandungi nutrisi penting seperti protein dan lipid. Namun, disebabkan faktor saiz kopepod yang lebih besar (>1 mm), ia sesuai diberi pada peringkat akhir larva ikan. Cladocera seperti moina dan daphnia turut merupakan spesies penting yang sering digunakan sebagai makanan hidup bagi larva ikan dan udang.
Di antara isu utama bagi bekalan makanan hidup adalah kebergantungan kepada sumber semula jadi yang tidak mampan seperti artemia. Sumber artemia di GSL telah mencapai Maximum Sustainable Yield (MSY), menunjukkan bahawa hasil maksimum yang dapat diperoleh dari sumber ini telah dicapai. Selain itu, terdapat laporan menunjukkan bahawa kadar penetasan cyst artemia mengalami penurunan berikutan kerosakan habitat dan pencemaran sumber semula jadi. Kebergantungan berterusan kepada artemia sebagai makanan hidup perlu dikurangkan. Sumber-sumber makanan hidup sedia ada perlu diperluaskan bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber bekalan makanan hidup yang semakin tidak menentu. Oleh itu, pembangunan sumber makanan hidup yang boleh diternak dapat mengurangkan kebergantungan ini dan memastikan bekalan yang berterusan.
Makanan hidup juga perlu dihasilkan dengan kos yang berpatutan dan ekonomi agar industri akuakultur terutamanya industri ikan, udang, dan ikan hiasan dapat beroperasi secara berdaya saing. Namun, dengan keperluan artemia yang semakin meningkat terutama oleh industri akuakultur yang pesat berkembang di seluruh dunia, sumber ini kini tidak lagi mencukupi. Sebutir cyst seberat <20 g per tin. Bekalan harga ini dijangkakan bakal dinaikkan dengan peningkatannya sebanyak 10-15% berbanding harga sekarang, memandangkan peningkatan kos sara hidup semasa dalam industri akuakultur.

Kapsyen Gambar:
  • Kandungan nutrisi yang tidak seimbang dan tidak menepati keperluan rega menyebabkan tumbesaran benih tidak optimal dan memberi impak.
  • Pemberian makanan hidup (Moina sp.) kepada rega ikan Kelah berusia 7 hari selepas menetas.

Kualiti bekalan makanan hidup yang dihasilkan perlu dipertingkatkan. Kandungan nutrien yang tepat penting untuk pertumbuhan dan kesihatan larva dalam spesies ikan dan udang. Nutrisi yang seimbang dan kualiti air yang terkawal adalah kritikal bagi pertumbuhan larva ikan dan udang dalam sistem akuakultur.
Dengan perkembangan teknologi akuakultur yang berterusan, inovasi teknologi penghasilan makanan hidup dan akuakultur adalah kunci kejayaan dalam sektor ini. Sebagai contoh, pembangunan teknologi penghasilan Moina secara intensif oleh Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Glami Lemi telah mula memberikan impak positif kepada pengusaha industri kelestarian makanan hidup negara. Selain itu, Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Enggor telah mengaktifkan sepenuhnya penggunaan artemia semenjak 2020 bagi keperluan diet asuhan benih dan meningkatkan kualiti secara amnya. PPA Enggor juga telah berjaya meningkatkan produktiviti pengeluaran benih ikan melebihi 3 juta pada tahun 2023 iaitu melebihi sasaran asal. Seterusnya, benih yang berkualiti dihasilkan berdasarkan penggunaan larva yang cukup dan berkualiti dihasilkan di PPA yang mempunyai potensi pengeluaran ikan yang tinggi bermula dari tahun 2023.
Isu ancaman penyakit dalam industri akuakultur dilihat semakin serius dan makanan hidup didapati menjadi salah satu pembawa kepada pelbagai patogen seperti bakteria, kulat dan virus yang membahayakan kesihatan ikan. Sumber makanan hidup seperti moina dari persekitaran luar, sering didapati di habitat yang tercemar di kolam kumbahan dan longkang domestik. Oleh itu kaedah ternakan secara organik perlu diaplikasi bagi memastikan penghasilan makanan hidup bebas patogen. Pemantauan berkala dan protokol kuarantin berterusan berpotensi mengurangkan risiko penyebaran penyakit.

 

Hasil tuaian makanan hidup yang bersih dan berterusan perlu bagi industri penghasilan benih ikan. Moina sp. yang telah dibersihkan untuk keperluan rega ikan atau dijadikan produk.



Maka, bagi menangani cabaran penghasilan makanan hidup yang mampan, usaha kolaboratif pihak jabatan, para penyelidik, pengusaha hatceri dan pihak berkepentingan industri khususnya industri akuakultur diperlukan. Selain itu, pihak kerajaan melalui Jabatan Perikanan Malaysia dan Institut Penyelidikan Perikanan juga sentiasa memainkan peranan penting dalam menyediakan latihan dan khidmat nasihat yang berterusan kepada pengusaha makanan hidup di seluruh negara.

Post a Comment

0 Comments