TEKNIK KACUKAN UDANG GALAH



TEKNIK KACUKAN UDANG GALAH DOMESTIKASI: SOLUSI AKUAKULTUR YANG BERDAYA SAING

Oleh: Balton Martin
Institut Penyelidikan Perikanan Pulau Sayak, Kedah
baltonmartin@dof.gov.my
Domestikasi Udang Galah: Menjawab Cabaran Akuakultur dengan Teknik Inovatif
Akuakultur udang galah semakin mendapat perhatian sebagai industri berpotensi tinggi. Namun, kebergantungan kepada induk udang galah bertelur daripada sumber liar memberi pelbagai cabaran kepada penternak. Induk dari sungai kini menghadapi pelbagai ancaman seperti saiz yang semakin kecil, kecacatan anggota dan risiko membawa penyakit. Keadaan ini menyumbang kepada kadar perkembangan larva yang rendah, menghasilkan benih yang sedikit serta pertumbuhan yang terbantut walaupun selepas enam bulan ternakan.
Situasi ini bukan sahaja menjejaskan kepercayaan penternak terhadap industri, tetapi juga menyebabkan banyak kolam udang galah terbiar tanpa hasil. Justeru, pendekatan baharu diperlukan untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber liar dan memastikan bekalan benih berkualiti untuk industri ini terus berkembang.
Domestikasi: Solusi Masa Hadapan
Institut Penyelidikan Perikanan Pulau Sayak (IPPPS) telah mengambil inisiatif proaktif melalui "Program Pembangunan Udang Galah Domestikasi". Program ini memanfaatkan teknologi terkini untuk menghasilkan induk udang galah bertelur secara domestik di dalam hatceri melalui teknik kacukan terkawal. Prosedur kacukan yang dijalankan melibatkan beberapa peringkat penting seperti di dalam gambar rajah di bawah.
Induk yang digunakan diperoleh daripada kolam ternakan yang telah mencapai berat minimum 30 g dengan tempoh ternakan melebihi enam bulan. Proses kacukan ini dilaksanakan dalam persekitaran terkawal, termasuk pemantauan rapi terhadap ruang kacukan, pemakanan, dan kualiti air. Hasilnya, telur yang dihasilkan menetas sehingga peringkat larva dan berjaya berkembang menjadi benih pasca larva dalam tempoh hanya 30 hari.
Keberkesanan Teknik Kacukan Terkawal
Melalui pendekatan ini, kualiti telur, larva, dan pasca larva daripada induk kacukan terbukti setanding dengan induk daripada sumber liar. Larva dan benih yang dihasilkan kemudiannya diternak menggunakan konsep Action Research bersama rakan strategik. Tempoh asuhan hingga mencapai saiz pasaran mengambil masa 150 hingga 180 hari sahaja, menjadikannya lebih efisien dan menguntungkan.
Masa Depan Cerah Akuakultur Udang Galah
Pendekatan domestikasi ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada sumber liar tetapi juga menjamin bekalan benih yang berkualiti tinggi untuk penternak. Dengan kejayaan program ini, industri akuakultur udang galah kini lebih bersedia untuk memenuhi permintaan pasaran sambil memelihara kelestarian ekosistem semula jadi. IPPPS terus komited untuk menjadi pemacu inovasi dalam bidang akuakultur, memastikan industri ini kekal relevan dan berdaya saing pada masa hadapan.

Gambar Rajah Prosedur Kacukan yang Dijalankan
1. Pengasingan
  1. Dilakukan setelah udang dikuarantin selama satu minggu.
  2. Induk jantan dan betina diasuh dalam tangki yang berasingan dalam tempoh selama satu sehingga dua minggu (7 hingga 14 hari).
  3. Air ternakan dimulakan dengan nilai kandungan garam sebanyak 0 ppt dan dinaikkan secara berkala sehingga mencecah nilai maksimum 3 ppt.
  4. Jenis dan kadar makanan sama seperti asuhan udang konvensional.
  5. Tujuan pengasingan adalah untuk proses penyalinan kulit, pematangan induk, penggalakan proses persenyawaan dan untuk menyingkirkan telur yang kurang berkualiti.


2. Persenyawaan
  1. Dimulakan apabila induk telah bersedia (kepala kuning) atau 50% populasi telah berjaya bersalin kulit.
  2. Induk jantan dan betina dipasangkan dengan nisbah 1 kepada 4 di dalam tangki kacukan dalam tempoh selama satu hingga dua minggu (7 hingga 14 hari).
  3. Kandungan garam air ternakan bermula dengan 3 ppt dan dinaikkan secara berkala sehingga mencecah nilai maksimum 7 ppt.
  4. Jenis dan kadar makanan sama seperti asuhan udang konvensional.
  5. Menggunakan induk jantan dengan berat 70g ke atas dan induk betina dengan berat 30g ke atas akan meningkatkan kejayaan persenyawaan dan menghasilkan telur yang berkualiti.


3. Pengutipan
  1. Dilakukan setelah dua minggu udang dipasangkan.
  2. Induk betina yang mengandungi telur yang berwarna kuning pucat di bawah abdomennya akan dikutip dan dimasukkan ke dalam tangki penetasan selama 10 hingga 14 hari atau sehingga semua induk melepaskan larva.
  3. Air ternakan akan dimulakan dengan nilai kandungan 10 ppt dan kekal sehingga selesai penetasan.
  4. Densiti kepadatan udang adalah 30 ekor/meter persegi atau 1kg berat induk.
  5. Makanan segar seperti sotong dibekalkan mengikut kadar maklumat harian.
(Nota: Udang diasuh atau dipegungkan dua ke tiga minggu sebelum proses boleh diulang. Tempoh kacukan adalah 40 hingga 45 hari).

Post a Comment

0 Comments