| Antara reka bentuk heater cover yang dihasilkan |
HEATER COVER MEMASTIKAN KESELAMATAN BENIH TERJAMIN
Oleh: Mohd Izzul Islam Ibrahim
Pusat Pengembangan Akuakultur Bukit Tinggi, Pahang
izzulislam@dof.gov.my
Pusat Pengembangan Akuakultur Bukit Tinggi, Pahang
izzulislam@dof.gov.my
Peranan Suhu Air dalam Pembenihan Ikan Air Tawar
Pembenihan ikan air tawar merupakan satu proses penting dalam industri akuakultur yang bertujuan menghasilkan benih ikan yang berkualiti dan mencukupi. Salah satu faktor utama yang mempengaruhi kejayaan proses ini ialah suhu air, yang memberi kesan langsung terhadap kadar penetasan telur, pertumbuhan benih dan daya tahan ikan terhadap penyakit.
Menyedari kepentingan ini, Pusat Pengembangan Akuakultur Bukit Tinggi telah mengambil inisiatif untuk menggunakan alat pemanas air (heater) serta alat pelindung (heater cover) dalam aktiviti pembenihan secara tertutup, terutama ketika cuaca sejuk atau tidak menentu.
Kebaikan Penggunaan Heater
Penggunaan heater dalam sistem pembenihan ikan air tawar memberi pelbagai manfaat, antaranya:
- Meningkatkan kadar penetasan telur, kerana suhu optimum dapat dikekalkan.
- Mengurangkan kadar kematian benih ikan, melalui kawalan suhu yang stabil.
- Mempercepatkan pertumbuhan anak ikan, terutamanya pada peringkat awal perkembangan.
- Membolehkan aktiviti pembenihan dijalankan sepanjang tahun, walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.
Keburukan dan Risiko Penggunaan Heater
Namun begitu, penggunaan heater juga mempunyai beberapa kekurangan yang perlu diberi perhatian:
- Kos penggunaan yang tinggi, termasuk harga alat dan penggunaan elektrik.
- Mengurangkan ketahanan ikan asli terhadap perubahan suhu semula jadi.
- Mewujudkan kebergantungan tinggi kepada peralatan, sekali gus menambah keperluan penyelenggaraan.
- Risiko pemanasan berlebihan, yang boleh menjejaskan proses pembenihan dan menyebabkan kematian benih jika tidak dipantau.
Khususnya, penggunaan heater tanpa alat pelindung (heater cover) boleh mengundang kesan buruk kepada rega dan benih ikan. Rega atau benih yang terdedah secara langsung kepada permukaan heater yang panas berisiko mengalami kecederaan atau kematian. Oleh itu, penggunaan heater perlu disertakan dengan pelindung bagi memastikan keselamatan benih terjamin.
Faktor Pemilihan dan Penggunaan Heater
Pemilihan dan penggunaan heater perlulah disesuaikan berdasarkan:
- Spesies ikan yang diternak.
- Lokasi dan persekitaran kolam atau sistem ternakan.
- Keupayaan sistem pembenihan yang digunakan.
Penternak yang ingin memastikan hasil pembenihan ikan lebih konsisten dan berkualiti sepanjang tahun boleh mempertimbangkan penggunaan heater sebagai satu pelaburan yang berbaloi dengan syarat ia dipantau dan diselenggara dengan baik.
0 Comments