STRATEGI PENJODOHAN INDUK IKAN INGGU

 

Pemilihan bakal induk daripada sekumpulan juvenil ikan yang ada.


STRATEGI PENJODOHAN INDUK IKAN INGGU MENJAMIN KUALITI PEMBIAKAN AKUAKULTUR"
Oleh: Dzulfikkar Baitulma’mur & Kaharudin Md Salleh
Institut Penyelidikan Batu Maung, Pulau Pinang
alfiks2001@dof.gov.my
Pemilihan dibuat berasaskan ciri-ciri menarik yang ada pada ikan tersebut.


Pemilihan Induk dan Proses Pembiakan Ikan Inggu (Common Clownfish)
Dalam proses pembiakan ikan inggu (Amphiprion ocellaris), pemilihan induk yang sesuai dan berkualiti amat penting bagi memastikan kejayaan pembiakannya. Induk yang baik akan menghasilkan larva ikan yang sihat dan berkualiti tinggi. Oleh itu, terdapat beberapa panduan penting yang perlu diambil kira dalam pemilihan induk ikan ini.
Tangki kaca bersaiz 1' lebar x 1' tinggi x 1' panjang digunakan bagi proses penjodohan ikan inggu.


Ciri-ciri Induk Ikan Inggu yang Baik
Secara asasnya, induk ikan inggu yang sesuai bagi tujuan pembiakan haruslah mempunyai ciri-ciri berikut:
  1. Saiz badan yang besar berbanding dengan ikan yang dalam kumpulan.
  2. Simetri badan yang sekata – kepala dan ekor seimbang.
  3. Kesihatan yang baik – tiada tanda-tanda penyakit.
  4. Warna dan corak jalur badan yang jelas.
  5. Tiada kecacatan fizikal seperti sirip rosak atau mata kabur.
Proses pemindahan pasangan terpilih ke dalam tangki penjodohan yang disediakan

Pasangan ikan inggu yang telah sedia berpasangan.

Induk jantan sedang menjaga telur yang dilekatkan pada kepingan mozek yang disediakan

Perubahan Jantina dalam Kalangan Ikan Inggu
Menariknya, semua anak ikan inggu akan lahir sebagai jantan. Namun, apabila mencapai usia matang, jantina mereka boleh berubah bergantung kepada struktur sosial dalam kumpulan. Ikan yang dominan akan bertukar menjadi betina, manakala seekor jantan yang sesuai akan menjadi pasangan pembiakannya. Ikan-ikan lain dalam kumpulan kekal sebagai jantan yang tidak membiak, sehinggalah berlaku kematian kepada salah satu pasangan dominan tadi.
Ciri-ciri Induk Betina
  1. Saiz badan terbesar dalam kumpulan dan bersifat dominan.
  2. Berusia sekurang-kurangnya 12 bulan sebelum matang untuk membiak.
  3. Aktif dan agresif terhadap jantan lain – menandakan dominasi sosial.
  4. Perut kelihatan bulat apabila hampir bertelur – menunjukkan kematangan gonad.
Ciri-ciri Induk Jantan
  1. Aktif dan jinak terhadap betina dominan – menunjukkan keserasian.
  2. Sihat tubuh badan – tiada kecacatan fizikal atau penyakit kulit.
  3. Menjaga sarang telur selepas proses peneluran – satu tingkah laku yang biasa bagi ikan jantan.
Memilih Pasangan Ikan Inggu
Pemilihan pasangan yang serasi dalam kumpulan biasanya mudah kerana pasangan ini sering berenang bersama dan tidak menunjukkan sebarang perlakuan agresif antara satu sama lain. Perbezaan saiz juga jelas kelihatan – betina biasanya lebih besar daripada jantan.
Langkah-langkah Pemadanan Ikan Inggu
Berikut adalah langkah demi langkah pemadanan ikan inggu secara berkesan:
1. Penyediaan Akuarium Khas
Sediakan akuarium bersaiz minimum 1 kaki x 1 kaki x 1 kaki bagi sepasang ikan. Tambahkan hiasan seperti batu hidup, paip PVC atau anemone tiruan sebagai tempat persembunyian. Pastikan akuarium dilengkapi dengan sistem penapisan air yang berfungsi dengan baik untuk mengekalkan kualiti air.
2. Proses kemasukan pasangan ikan induk ke dalam akuarium
Bagi pasangan yang telah serasi, masukkan kedua-dua ikan secara serentak ke dalam akuarium. Jika pasangan diperoleh daripada sumber berlainan, mulakan dengan memasukkan ikan bersaiz kecil dahulu, diikuti dengan ikan yang lebih besar selepas beberapa hari. Pemantauan perlu dilakukan sekurang-kurangnya selama 1–2 minggu untuk mengenal pasti sama ada pasangan yang dipasangkan serasi atau sebaliknya. Sekiranya pasangan telah serasi, pemantauan berterusan tidak lagi diperlukan.
3. Proses Pemantauan Tingkah Laku
Semasa proses pemantauan, perhatikan tingkah laku berikut: Jika keserasian tercapai, pasangan akan berenang berdekatan dan tidak berlawan.

 

Tidak serasi: Pasangan bergaduh sehingga mengalami kecederaan seperti sirip koyak, badan berubah warna, atau tidak mahu makan. Dalam kes ini, ikan perlu diasingkan segera bagi mengelakkan kematian.
4. Menunggu Proses Keserasian
Pasangan yang telah serasi akan mula tinggal bersama dan mempersiapkan kawasan untuk bertelur. Namun, proses ini mungkin mengambil masa beberapa minggu hingga beberapa bulan sebelum pasangan mula membiak sepenuhnya.
Penutup

Pembiakan ikan inggu memerlukan pemilihan induk yang teliti serta pemerhatian berterusan bagi memastikan pasangan yang dipilih benar-benar serasi. Pengetahuan tentang biologi, tingkah laku sosial, dan keperluan habitat ikan ini amat penting bagi memastikan kejayaan dalam pembiakan ikan inggu secara terkawal. 


Post a Comment

0 Comments