JABATAN PERIKANAN TAWARKAN LEBIH 900 LESEN TEROKA LAUT DALAM BAHARU

Contoh vesel buatan besi bagi vesel moden laut dalam C2 di Malaysia.


TEROKAI PERIKANAN LAUT DALAM (ZON C2): LEBIH 900 LESEN BAHARU DITAWARKAN

Oleh: Halimi Abu Hanip
Bahagian Sumber Perikanan Tangkapan
halimi@dof.gov.my
Pengisytiharan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara pada 25 April 1980 telah memperluas perairan perikanan Malaysia daripada 47,000 kepada 157,143.5 batu nautika persegi. Susulan itu, kawasan penangkapan ikan laut dalam yang dinamakan 'Zon C2' telah diwujudkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) bagi pembukaan lesen untuk meneroka sumber perikanan yang jarang diusik di ZEE Malaysia.

Zon Perikanan Laut Dalam (C2)
Definisi 'laut dalam' atau 'Zon C2' di perairan perikanan Malaysia adalah bermula daripada:
  • 15 batu nautika dari Pantai Barat Semenanjung Malaysia (Selat Melaka) sehingga ke sempadan ZEE negara.
  • 30 batu nautika dari Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur sehingga ke sempadan ZEE negara.
Kategori vesel penangkapan ikan laut dalam (vesel C2) ialah yang bersaiz muatan lebih 70 GRT (tanan kasar berdaftar) dengan kelengkapan peralatan menangkap ikan sama ada pukat tunda, pukat jerut ikan, bubu atau kail-mengail (rawai).

Penambahan Lesen C2 Baharu
Berbanding perikanan laut pantai iaitu Zon A, B dan C yang telah dibekukan sebarang penambahan lesen baharu sejak 1982, lesen untuk C2 masih dibuka oleh DOF sehingga ke hari ini. Berdasarkan Pelan Strategik DOF 2021 – 2030, perairan negara masih boleh menampung tambahan kuota lesen C2 sebanyak 902 buah vesel lagi. Ia merangkumi:
  • 743 lesen untuk tangkapan sumber ikan demersal.
  • 159 lesen untuk tangkapan ikan pelagik.
DOF amat mengalu-alukan mana-mana syarikat tempatan yang berminat untuk memohon lesen C2 ini. Permohonan tidak dibuka kepada individu atau syarikat yang mempunyai pegangan saham warganegara asing; ia mestilah syarikat yang sepenuhnya milik warganegara Malaysia.

Syarat Perolehan Vesel
  1. Kelulusan Awal: Syarikat perlu memohon kelulusan perolehan vesel daripada Ketua Pengarah DOF terlebih dahulu sebelum membina atau membeli vesel.
  2. Pematuhan Syarat: Vesel mestilah dibina atau diperolehi mengikut dasar dan spesifikasi yang ditetapkan oleh jabatan.
  3. Pengeluaran Lesen: Lesen hanya akan dikeluarkan setelah vesel siap dan mematuhi semua syarat pemeriksaan.
Pembinaan vesel C2 buatan kayu dalam negara disyaratkan hendaklah dilengkapi pelan susun atur am vesel (GA Plan) dan mempunyai spesifikasi HOB


Perolehan Vesel C2 yang Dibenarkan
Dasar DOF hanya membenarkan tiga kaedah perolehan vesel penangkapan ikan laut dalam (C2) iaitu:
1. Vesel Moden Bina Baharu Dalam Negara
Dalam usaha mewujudkan vesel penangkapan ikan tempatan yang moden, DOF menetapkan 12 piawaian garis panduan pembinaan vesel C2. Vesel moden ini diperbuar daripada gentian kaca atau besi dan hendaklah mematuhi spesifikasi hygiene on board (HOB) di mana perlu dilengkapi tandas, sinki, tempat tidur kru yang selesa, ruang memasak dan lain-lain.
2. Vesel Moden Bina Baharu / Terpakai Luar Negara
Untuk perolehan vesel dari luar negara, vesel moden bina baharu atau terpakai daripada Kesatuan Eropah (EU), Jepun, Amerika Syarikat dan Turkiye sahaja yang dibenarkan untuk dibawa masuk (dibeli) oleh syarikat tempatan bagi mendapat kelayakan lesen C2.
3. Vesel Kayu Bina Baharu Dalam Negara
Vesel bina baharu buatan kayu dibenarkan dengan syarat ia hendaklah dibina dalam negara (tempatan), mempunyai pelan susun atur am vesel (GA / general arrangement) dan mematuhi spesifikasi HOB.

Post a Comment

0 Comments