PENGGUNAAN FOSFAT DALAM PERIKANAN

Pengambilan sampel air

 

FOSFAT DALAM PERIKANAN: KEPENTINGAN DAN KESAN TERHADAP EKOSISTEM AKUATIK

Oleh: Abdul Hafis Abdul Rashid
Pusat Biosekuriti Perikanan Wilayah Sarawak, Bintawa
hafisrashid@dof.gov.my
Fosfat merupakan sumber nutrien yang diperlukan untuk pertumbuhan organisma akuatik seperti plankton, alga, dan tumbuhan air. Dalam pengurusan kualiti air, tahap fosfat adalah kritikal kerana ia memainkan peranan penting dalam ekosistem akuatik. Walaupun diperlukan dalam jumlah kecil, kepekatan fosfat yang berlebihan boleh membawa kepada masalah alam sekitar yang serius, tahap fosfat yang tidak terkawal boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem dan kualiti perikanan.
Sampel air yang telah ditapis akan dimasukkan ke dalam sample cell untuk proses analisis menggunakan instrumen spektrofotometer Hach DR3900


Fosfat menyumbang kepada pertumbuhan tumbuhan dan alga yang menjadi asas rantaian makanan akuatik. Walau bagaimanapun, kepekatannya haruslah seimbang. Kepekatan fosfat yang terlalu tinggi di dalam air akan mengganggu ekosistem manakala fosfat yang terlalu sedikit akan mengehadkan produktiviti biologi. Fosfat yang mencukupi membantu meningkatkan bilangan organisma kecil seperti zooplankton, yang menjadi makanan bagi hidupan akuatik.
Fosfat melarut dalam air daripada sumber semula jadi hakisan batuan yang kaya dengan fosfat serta pereputan bahan organik. Fosfat juga terhasil daripada aktiviti manusia, seperti pertanian, pelepasan air sisa, perlombongan dan pelepasan industri. Kepekatan fosfat yang tinggi boleh membawa kepada eutrofikasi (lebihan bekalan nutrien dalam air) iaitu satu proses yang menjejaskan kualiti air dan merosakkan ekosistem akuatik. Kesan utama termasuk:
a. Ledakan Alga: Nutrien berlebihan, terutamanya fosfat merangsang pertumbuhan alga secara berlebihan. Sesetengah ledakan alga adalah berbahaya (HAB), menghasilkan toksin yang berbahaya kepada hidupan akuatik dan manusia.
b. Pengurangan Oksigen: Apabila alga mati dan mereput, ia menggunakan oksigen terlarut, menyebabkan keadaan hipoksia atau anoksia yang boleh membunuh ikan dan organisma akuatik lain.
c. Kehilangan Kepelbagaian Biologi: Perubahan dalam tahap nutrien akan memihak kepada beberapa spesies berbanding yang lain, mengurangkan kepelbagaian.
d. Kemerosotan Kualiti Air: Eutrofikasi mengurangkan kejernihan air dan menyebabkan sumber air tidak sesuai untuk diminum, rekreasi, atau kegunaan industri. Keadaan ini juga menyukarkan kerja-kerja perikanan yang bergantung kepada penangkapan ikan liar.
Tahap fosfat diukur menggunakan kaedah analisis spektrofotometri yang menggunakan instrumen Hach DR3900 bersama dengan kit fosfat yang bersesuaian dengan kaedah analisis. Fosfat juga boleh diukur di lapangan untuk ujian pantas di tempat yang memerlukan pemeriksaan untuk tujuan kecemasan. Keputusan biasanya dinyatakan dalam miligram per liter (mg/L) fosfat-fosforus (PO4-P). Tahap fosfat yang sesuai untuk perikanan biasanya bergantung pada jenis habitat dan spesies ikan. Sebagai panduan:
  • Kolam Akuakultur: Fosfat perlu dikawal pada tahap sederhana (sekitar 0.01–0.05 mg/L) untuk mengelakkan ledakan alga yang berlebihan.
  • Sungai dan Tasik: Tahap fosfat di bawah 0.1 mg/L dianggap ideal untuk mengelakkan eutrofikasi.
Proses analisi sample air


Lanjutan daripada itu, untuk mengekalkan keseimbangan fosfat, pendekatan berikut boleh diambil:
a. Pengawalan Nutrien:
  • Penggunaan baja dan makanan ikan yang teratur untuk mengelakkan lebihan nutrien.
  • Memantau tahap fosfat di kolam akuakultur atau kawasan perikanan.
b. Peningkatan Teknik Akuakultur:
  • Sistem akuakultur bersepadu, seperti akuaponik, yang mengitar semula nutrien secara efisien.
  • Pengawalan sisa makanan dan pembersihan kolam secara berkala.
c. Pemuliharaan Kawasan Tadahan:
  • Penanaman tumbuhan penampan di kawasan tebing sungai atau tasik untuk menyerap fosfat dari larian air.
d. Rawatan Sisa Air:
  • Memastikan sisa air dari industri atau domestik dirawat sebelum dilepaskan ke badan air.


Fosfat adalah elemen penting dalam perikanan, tetapi ia haruslah dikawal dengan baik untuk memastikan kesihatan ekosistem dan hasil perikanan yang mampan. Pengurusan sumber fosfat yang efektif akan membantu meningkatkan produktiviti tanpa menjejaskan alam sekitar. Penjagaan tahap fosfat yang seimbang adalah penting untuk memelihara kualiti air dan kesihatan ekosistem akuatik. Selain itu, memahami sumber, kesan dan pengurusan pencemaran fosfat membolehkan penjagaan sumber air tawar yang lebih baik, memastikan ia kekal berdaya tahan untuk generasi akan datang.


Post a Comment

0 Comments