| Produk Inovasi: NutriKarp Aquafeed, pelet formulasi kematangan ikan kap tempatan yang berasaskan Black Soldier Fly (BSF). |
PENGHASILAN PELET TERAPUNG UNTUK MAKANAN IKAN
Oleh: Tazri Amil Shafie, Hanan Mohd Yusof & Amatul Samahah Md. Ali
Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Glami Lemi, Jelebu, Negeri Sembilan
tazri@dof.gov.my
Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Glami Lemi, Jelebu, Negeri Sembilan
tazri@dof.gov.my
Penggunaan pelet dalam penghasilan makanan ikan memainkan peranan penting dalam industri akuakultur kerana ia menawarkan pelbagai kelebihan berbanding jenis makanan ikan yang lain. Pelet ikan menyediakan nutrisi optimum bagi pertumbuhan dan pembesaran ikan kerana ia diformulasikan khusus untuk memenuhi keperluan nutrien yang seimbang. Ia mudah dikendalikan kerana bentuknya yang padat dan boleh dihasilkan dalam pelbagai saiz dan bentuk, memudahkan penternak memberikan makanan dengan lebih tepat dan efisien.
Selain itu, pelet mudah disimpan dan mempunyai jangka hayat yang lebih panjang berbanding makanan basah, kerana kadar kelembapan yang rendah menghalang pertumbuhan bakteria dan kulat. Pelet juga boleh direka sama ada untuk terapung atau tenggelam, mengikut keperluan spesies ikan yang diternak. Ini memberi fleksibiliti kepada penternak dalam memilih jenis pelet yang sesuai dengan tabiat pemakanan ikan, sama ada yang memakan di permukaan air atau di dasar kolam.
Penghasilan pelet terapung bagi makanan ikan merupakan aspek penting dalam aktiviti ternakan ikan. Pelet terapung mempunyai beberapa kelebihan berbanding dengan pelet tenggelam. Antaranya adalah kemudahan pemantauan makanan oleh penternak ikan, kerana pelet terapung membolehkan mereka melihat sama ada ikan memakan pelet dengan baik atau tidak. Selain itu, pelet terapung juga membantu mengurangkan pembaziran makanan, kerana ia membolehkan ikan makan dengan lebih efisien dan mengurangkan kemungkinan pelet terlepas ke dasar kolam. Pelet terapung adalah jenis makanan ikan yang dirancang khusus untuk terapung di permukaan air, memudahkan ikan untuk memakannya. Kaedah penghasilan pelet ini melibatkan beberapa langkah utama dan bahan-bahan yang khusus untuk memastikan pelet yang dihasilkan berkualiti tinggi dan sesuai dengan keperluan pemakanan ikan. Proses penghasilan pelet melibatkan beberapa langkah asas.
Bahan mentah utama bagi penghasilan pelet makanan ikan terapung secara dasarnya adalah sumber protein, karbohidrat, lemak, vitamin, mineral dan bahan pengikat. Bahan utama dalam pelet terapung adalah sumber protein. Ini boleh termasuk ikan hancur, tepung soya, atau protein haiwan lain. Protein adalah nutrien penting untuk pertumbuhan dan kesihatan ikan. Karbohidrat, seperti tepung jagung atau tepung gandum, digunakan sebagai sumber tenaga dan untuk memberikan struktur kepada pelet. Lemak berfungsi sebagai sumber tenaga tambahan dan membantu dalam penyerapan vitamin. Minyak ikan atau minyak sayuran sering digunakan sebagai bahan lemak dalam pelet. Suplemen campuran vitamin dan mineral ditambah untuk memastikan pelet memenuhi keperluan pemakanan ikan secara menyeluruh. Ini termasuk vitamin A, D, E, serta mineral seperti kalsium dan fosforus. Bahan seperti gelatin atau kanji digunakan untuk mengikat bahan-bahan lain dalam pelet dan memastikan pelet tidak hancur terlalu cepat dalam air.
Langkah pertama adalah pengisaran bahan mentah, diikuti dengan timbangan bahan mentah untuk memastikan keseragaman dalam campuran. Kaedah penghasilan pelet terapung dimulai dengan mencampurkan bahan-bahan kering seperti protein, karbohidrat, dan vitamin dengan bahan-bahan cecair seperti minyak. Campuran ini perlu dilakukan secara menyeluruh untuk memastikan semua bahan bercampur rata. Seterusnya, campuran bahan kemudiannya dimasukkan ke dalam mesin pengekstrusi (ekstruder). Mesin ini akan memanaskan campuran pada suhu tinggi dan tekanan tinggi. Sifat timbul atau tenggelamnya pelet bergantung kepada beberapa faktor antaranya sebagai contoh, suhu memproses pelet menggunakan mesin pengekstrusi (ekstruder) biasanya sekitar 77°C berbanding menggunakan pelletizer sekitar 57°C.
Proses ini membantu membentuk campuran menjadi bentuk pelet dan memastikan pelet mempunyai ketumpatan yang rendah, membolehkan ia terapung di permukaan air. Pelet yang telah dihasilkan perlu dikeringkan untuk mengurangkan kandungan kelembapan sehingga 4%. Pengeringan ini penting untuk memastikan pelet tidak terlalu cepat rosak dalam air dan mempunyai jangka hayat yang lebih lama. Selepas pengeringan, pelet perlu disejukkan sebelum disimpan. Proses penyejukan ini membantu mengekalkan bentuk pelet dan mengelakkan pembentukan cendawan atau kerosakan semasa penyimpanan.
|
Penghasilan pelet terapung memerlukan pemahaman yang mendalam tentang komposisi bahan dan proses pengeluaran. Dalam pembuatan makanan ikan dalam bentuk pelet terapung, beberapa faktor penting perlu dipertimbangkan untuk menentukan sama ada pelet tersebut akan timbul atau tenggelam. Ini termasuk jenis bahan mentah seperti tepung gandum, penggunaan mesin sama ada ekstruder atau pelletizer, suhu semasa proses pembuatan untuk memastikan bahan campuran masak, dan peratusan kandungan air serta minyak yang digunakan semasa proses mengadun bahan mentah. Semua faktor ini memainkan peranan penting dalam memastikan kualiti dan keberkesanan makanan ikan yang dihasilkan. Dengan menggunakan bahan-bahan berkualiti dan teknik yang betul, pelet terapung dapat menyediakan makanan yang berkhasiat dan berkesan untuk ikan. Inovasi dalam teknologi pembuatan pelet terus berkembang, menjanjikan penyelesaian yang lebih baik untuk industri akuakultur dan memastikan kesihatan serta pertumbuhan ikan yang optimum.
0 Comments