Penghasilan tiram biasa di Hatceri Moluska IPP Pulau Sayak, Kedah.
TIRAM BIASA, TIRAM TRIPLOID (MANDUL) DAN TIRAM KACUK (HIBRID)
Oleh: Mohd Saleh Mohd Taha
Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Pulau Sayak, Kedah.
Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Pulau Sayak, Kedah.
Pendahuluan
Di Malaysia, terdapat dua spesies tiram utama iaitu Crassostrea iredalei dan Crassostrea belcheri. Bermula tahun 1993, Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Pulau Sayak, Kedah telah membangunkan teknologi pembenihan tiram dalam hatceri yang melibatkan aktiviti penyelidikan dan pengeluaran benih spesies kerang-kerangan yang berpotensi di Malaysia. Aktiviti penyelidikan tiram di hatceri ini berkembang mengikut keperluan semasa industri tiram iaitu pembangunan penyelidikan tiram biasa pada tahun 1993 hingga kini, tiram triploid (mandul) pada 2003 hingga 2007 dan tiram hibrid (kacukan) pada 2011 hingga 2013.
Sebanyak lebih kurang 1.1 juta benih tiram biasa bersaiz antara 0.5 hingga 2.5 cm berjaya dihasilkan dalam Hatceri Moluska di IPP Pulau Sayak dari tahun 2011 hingga 2021 dan diedarkan kepada penternak tiram di negeri-negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Johor selain digunakan untuk kajian tumbesaran di lapangan.
Antara syarikat yang telah menerima teknologi pembenihan tiram biasa ini adalah Pengkalan Tiram Enterprise dari Kedah dan Persada Matriks Sdn. Bhd. (Selangor). Projek percubaan penternakan tiram biasa di dalam kolam juga telah dijalankan di FRI Gelang Patah, Johor pada tahun 2015 hingga 2016, di Syarikat Laman Alam Jaya di Muar, Johor (2019-2020) dan di IPP Pulau Sayak, Kedah (2020-2021).
Kelebihan Tiram Triploid
Dalam industri penternakan tiram di Eropah, penggunaan kaedah penghasilan tiram triploid atau tiram mandul semakin diminati kerana ia dapat menghasilkan tiram yang lebih berkualiti dengan saiz isi tiram yang lebih besar, ketahanan terhadap serangan penyakit serta tumbesaran yang cepat. Kromosom pada gamet tiram biasa adalah sebanyak 20 kromosom, manakala tiram triploid mempunyai 30 kromosom yang mampu membesar dengan cepat iaitu antara lapan hingga 10 bulan berbanding tiram biasa yang memerlukan tempoh sehingga 18 bulan untuk mencapai saiz pasaran.
Tiram triploid ini juga sentiasa dalam keadaan baik (good condition factor) kerana ia tidak membiak (Rajah 2). Oleh kerana itu, tenaganya disalurkan untuk pembesaran dan bukan untuk pengeluaran gamet. Walaupun saiz panjang tiram biasa dan triploid tidak signifikan, terdapat perbezaan yang signifikan pada beratnya. Kandungan isi tiram triploid lebih berat berbanding tiram biasa. Indeks hasil dan kondisi isi tiram triploid adalah tinggi sepanjang tahun berbanding tiram biasa.
Pemindahan Teknologi
Teknologi ini telah berjaya dipindahkan kepada syarikat Tropical Oyster Sdn. Bhd. di Perak pada tahun 2010 hingga 2013 dan berjaya menghasilkan lebih kurang 255,360 benih tiram triploid pada tempoh tersebut. Berfungsi sebagai kolaborator dalam pengkomersialan tiram triploid, syarikat ini memiliki sangkar tiram di Kuala Trong, Perak yang boleh menampung sehingga 400 ribu biji tiram untuk diternak secara komersial. Pemindahan teknologi diberi melalui sesi latihan dalam pembenihan dan penternakan tiram triploid.
TIRAM HIBRID
| Ciri-ciri Cangkeng Tiram Hibrid. Menunjukkan perbezaan antara Crassostrea belcheri (tiada tompokan hitam) dan Crassostrea iredalei (mempunyai tompokan hitam di bahagian dalam cangkeng). |
Perbandingan Spesies
Malaysia mempunyai dua spesies tiram yang mempunyai genus yang sama iaitu Crassostrea iredalei dan Crassostrea belcheri yang boleh dikacuk untuk menghasilkan tiram hibrid.
- Benih tiram biasa iaitu C. iredalei: Mempunyai kelemahan ciri seperti kulit cangkeng nipis dan mudah rapuh.
- Manakala C. belcheri: Pula mempunyai warna isi yang kurang menarik iaitu berwarna keperangan serta sedikit liat dan tumbesaran yang perlahan sepanjang tempoh pembesarannya.
Proses Kacukan Silang
Oleh kerana kedua-dua spesies tiram ini adalah dari genus Crassostrea sp., ia boleh dibiakkan melalui kaedah kacukan silang. Dengan mengacuk silang sperma C. iredalei dengan telur C. belcheri dan sebaliknya kacukan sperma C. belcheri dengan telur C. iredalei, akan menghasilkan tiram yang bercangkeng bulat dan pendek. Isinya pula berwarna lebih cerah dan keputihan (Rajah 4).
Cangkengnya lebih tebal dan terdapat tanda hitam (black scar) di bahagian dalam kulit cangkeng yang asalnya dimiliki oleh C. iredalei (Rajah 3). Warna cangkeng juga berbeza dari tiram biasa semasa di peringkat benih iaitu berwarna kekuningan (Rajah 5). Tumbesaran tiram hibrid lebih cepat iaitu ia mencapai saiz pasaran antara dua hingga empat bulan lebih awal berbanding tiram biasa dan kadar hidup yang lebih tinggi melebihi 90% sepanjang asuhan dan pembesarannya di habitat alamiah.
Pengkomersialan dan Masa Depan
Syarikat Oyster Farm Venture Plt (Kedah) telah menerima teknologi tiram hibrid ini pada tahun 2019 dan berjaya menghasilkan sejumlah 186,660 benih tiram hibrid untuk diasuh di sangkarnya di Sg. Terus, Bt. Lintang, Kedah.
Industri penternakan tiram menghadapi kekurangan bekalan benih untuk diternak secara komersial. Teknologi pengeluaran benih tiram dalam hatceri telah sedia ada, namun industri memerlukan pelabur iaitu syarikat yang bermodal besar bagi mengeluarkan bekalan benih tiram biasa, triploid dan hibrid secara besar-besaran.
Jabatan Perikanan Malaysia berharap supaya industri pembenihan tiram ini mendapat perhatian pihak swasta kerana ia merupakan bidang perniagaan yang menguntungkan di samping dapat meningkatkan bekalan makanan laut yang kaya dengan unsur zink yang penting untuk kesuburan manusia. BP
0 Comments